Khamis, 18 April 2013

Ronnie Liu, Jenice Lee dan Teresa Kok antara digugurkan dari kerusi DUN Selangor



KUALA LUMPUR, 18 April — Tiga pemimpin utama DAP Selangor Ronnie Liu, Teresa Kok dan Jenice Lee tidak tersenarai dalam senarai calon yang baru dikeluarkan hari ini untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing di negeri Selangor.  Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan keputusan tersebut di ibu pejabat DAP di ibukota dan menegaskan keputusan tersebut diputuskan selepas menerima maklum balas daripada ahli akar umbi.

Liu sebelum ini merupakan ahli majlis mesyuarat negeri (Exco) Selangor tidak akan mempertahankan kerusi DUN Pandamaran dan tidak akan bertanding dimana-mana kerusi pada pilihan raya kali ini.

Walau bagaimanapun, Kok hanya digugurkan daripada DUN Kinrara tetapi akan mempertahankan kerusi Parlimen Seputeh yang dimenanginya pada 2008 dahulu.

Lee pula digugurkan daripada kerusi DUN Teratai dan dengan calon baru digantikan Tiew Way Keng.

Calon baru bagi kerusi Parlimen Selangor pula menyaksikan Ahli Strategi Pilihan Raya DAP Ong Kian Ming terpilih sebagai calon Serdang bagi menggantikan Teo Nie Ching yang bertukar untuk bertanding di Kulai.

Kerusi-kerusi di negeri Selangor dikatakan merupakan kerusi panas kerana negeri ini mempunyai pengundi baru yang ramai disamping merupakan negeri yang paling kaya dan maju di Malaysia.

Pada 8 Mac 2008, Barisan Nasional memenangi 20 buah kerusi daripada 56 kerusi DUN Selangor. Pakatan Rakyat memenangi 36 kerusi dengan 15 kerusi dimenangi PKR, 13 DAP dan 8 dari PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh PRU13 pada hari Ahad, 5 Mei 2013.

Sejumlah 13.3 juta pemilih berdaftar akan membuang undi dalam pilihan raya kali ini.

Ahli politik daripada parti pemerintah BN dan pembangkang PR bertarung merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dun pada Pilihan Raya 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan