Rabu, 24 September 2014

Azmin mulakan tugas rasmi MB hari ini

SHAH ALAM: Mohamed Azmin hari ini secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. (Foto oleh Selangor Kini)

Beliau yang mengenakan sut hitam dilihat tiba di bangunan SUK Shah Alam kira-kira jam 7.45 pagi.

Ketibaan beliau disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Mohammed Khusrin Munawi dan kakitangan pejabat Menteri Besar.

Beliau kemudian diberi taklimat oleh Mohammed Khusrin mengenai Pejabat Menteri Besar di tingkat 21.

Tugas pertama beliau pagi ini adalah mempengerusikan mesyuarat bersama ketua setiap jabatan dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Azmin turut memaklumkan bahawa pemilihan barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) baharu sudah diputuskan melalui perbincangan dengan setiap parti komponen Pakatan Rakyat (PR) semalam.

Bagaimanapun katanya, pertemuan kedua akan diadakan hari ini bagi memuktamadkan nama-nama calon terbabit sebelum dipersembah kepada Sultan esok.

Angkat sumpah bagi jawatan exco dijangka akan diadakan pada Jumaat. - HARAKAHDAILY 24/9/2014

Selasa, 23 September 2014

Azmin angkat sumpah Menteri Besar Selangor ke-15

 KLANG: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bukit Antarabangsa, Mohamed       Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor yang baharu hari ini
Mohamed Azmin, 50, yang juga anggota Parlimen Gombak, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairong Seri, Istana Alam Shah, di sini pada kira-kira 10.45 pagi.
Timbalan Presiden PKR itu mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memegang jawatan itu lebih enam tahun, bermula 2008.
 
Turut hadir isteri Mohamed Azmin, Shamsidar Taharin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Speaker Dewan Undangan Negeri Hannah Yeoh serta empat bekas anggota Exco kerajaan negeri daripada PAS iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi dan Dr Halimah Ali.
 
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) lain daripada PKR, PAS, DAP dan Barisan Nasional (BN) bagaimanapun tidak mendapat undangan ke istiadat yang bermula 10.30 pagi itu.
 
Istiadat angkat sumpah itu disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
 
Pada istiadat itu, Mohamed Azmin yang lengkap berbaju Melayu hitam serta memakai tengkolok, turut melafazkan Akujanji 10 perkara di hadapan Sultan Sharafuddin dengan memegang lembing 'Sembuana' yang bersalut kain kuning.
 
Ia merangkumi janji untuk memelihara dan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara; memelihara dan melindungi kesucian serta keagungan agama Islam sebagai agama negeri; memelihara kedaulatan institusi Raja dan mempertahankannya daripada dicemari serta diganggu-gugat oleh mana-mana pihak; mematuhi segala arahan dan ketetapan dikeluarkan oleh Sultan Selangor dari semasa ke semasa serta memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
 
Beliau juga berakujanji untuk melaksanakan tugas dengan integriti yang tinggi, penuh rasa tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas; mendahulukan rakyat selagi ia tidak menjejaskan kepentingan, kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri.
 
Mohamed Azmin juga berakujanji untuk memelihara hubungan baik dengan kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain dalam Persekutuan; memelihara jawatan dipegang daripada dicemari dengan pelakuan yang menyalahi undang-undang serta memastikan perpaduan antara kaum dengan menitikberatkan semangat muhibah, tolak ansur dan kerjasama antara kaum.
 
Lafaz Akujanji dan keperluan memegang tombak pertama kali diperkenalkan ketika Abdul Khalid mengangkat sumpah sebagai menteri besar bagi penggal kedua pada 14 Mei tahun lepas.
 
Mohamed Azmin turut mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Anggota Dewan Diraja Negeri Selangor pada istiadat yang dizahirkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani.
 
Penggantian Abdul Khalid berlaku selepas pakatan rakyat mengambil tindakan yang dikenali sebagai "Langkah Kajang" yang menyaksikan Adun Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.
 
Bagaimanapun, Anwar hilang kelayakan bertanding apabila Pendakwa Raya menang rayuan dalam kes liwat membabitkan Anwar dengan seorang pembantunya.  
 
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada Anwar, bertanding dan memenangi kerusi itu.
 
Pada 9 Ogos lepas, PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu dan mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor tetapi tidak diperkenan oleh pihak istana.
 
Sejurus istana mengesahkan pemilihan Mohamed Azmin semalam, Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan berkata beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka. - Bernama

Isnin, 22 September 2014

Azmin ganti Khalid sebagai MB Selangor


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, berkuatkuasa esok.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, memaklumkan perkara itu dalam surat pemberitahuan pelantikan kepada Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, hari ini.

Salinan surat berkenaan diedarkan kepada pihak media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya petang tadi.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta pengurniaan surat cara pelantikan menteri besar akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang jam 10.30 pagi esok. - HARAKAHDAILY 22/9/2014

Rabu, 28 Mei 2014

Sultan Azlan Shah mangkat






KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah disahkan mangkat pada 1.30 petang tadi. Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir.

Jenazah Sultan Azlan akan disemayamkan di Balairong seri, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar sebelum dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghufran selepas solat Asar, esok.

Baginda dilahirkan pada tahun 1928 di Batu Gajah, Perak. Baginda adalah anakanda kepada Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah.

Almarhum merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang kesembilan. Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong dari 26 April 1989 - 25 April 1994

Nama baginda mula menjadi sebutan ramai apabila dilantik menjadi Ketua Hakim Negara yang ke-5 Pada 12 November 1982. Dari 1979-1982, baginda menjadi Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya.

Almarhum ditabalkan sebagai Raja Muda Perak oleh ayahanda saudara baginda, Sultan Idris Shah II pada 1 Julai 1983 berikutan kemangkatan Raja Muda Musa II. Enam bulan kemudian, Sultan Idris mangkat lalu Raja Azlan Shah dimasyhurkan sebagai Sultan Perak yang ke-34 pada 3 Februari 1984 dan majlis pertabalan Pada 9 Disember 1985.

Pada 26 April 1989 , Sultan Azlan Shah telah melafaz sumpah jawatan dan dan menandatangani surat pengisytiharan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-9 di Balai Rong Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur, Malaysia

Jumaat, 18 April 2014

Perarakan dijadual singgah di tiga lokasi bermakna


 Bernama | Kemas kini: April 18, 2014

Perarakan dijadual singgah di tiga lokasi bermakna
GEORGE TOWN: Perarakan membawa jasad mendiang Karpal Singh pada Ahad ini akan melakukan tiga 'persinggahan bermakna' semasa dalam perjalanan dari Dewan Sri Pinang ke Krematorium Batu Gantung, demikian diumumkan di sini hari ini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang mengetuai jawatankuasa pengebumian negeri bagi Karpal Singh, berkata persinggahan itu adalah kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, tempat mendiang bertugas sebagai peguam; Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, lokasi beliau memulakan kerjaya politiknya; dan St Xavier's Institution, sekolah lama Karpal Singh.

Ketiga-tiga persinggahan itu ditetapkan oleh jawatankuasa pengebumian bagi membolehkan sesi fotografi dijalankan memandangkan lokasi terlibat sangat bermakna bagi Karpal Singh, katanya kepada pemberita.

Perarakan itu akan bermula di Dewan Sri Pinang pada 11 pagi, katanya.

Karpal Singh terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 1.10 pagi semalam membabitkan kenderaan MPV yang dinaikinya dan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Perak.

Pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius, 39, turut maut dalam kemalangan
itu.

Perarakan jasad Karpal Singh dijangka bermula pada 8.15 pagi dari rumah mendiang di 144A, Jalan Utama di sini, menuju ke Dewan Sri Pinang.

Terdahulu, di rumah mendiang hari ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang mengetuai sekumpulan anggota parti menutup keranda mendiang dengan bendera parti.

Chow berkata orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir kepada Karpal Singh juga di Dewan Sri Pinang pada Ahad.

Beliau berkata upacara sembahyang agama Sikh akan diadakan di Dewan Sri Pinang.

TGNA | Kuliah Jumaat 18 April 2014

Ustaz Asri Daud | Kuliah Jumaat 18 April 2014

Khamis, 13 Mac 2014

DUA MUSIBAH DALAM 24 JAM

Negara dilanda dua musibah dalam masa 24 jam dari petang Jumaat 7 Mac hingga pagi Sabtu 8 Mac lalu.
   
Kata saya pada kedua-dua musibah itu, ‘Inna lillah wainna ilaihirojiun.’
   
Yang pertama, musibah yang menimpa rakyat khususnya di Kajang dan Selangor ia berita Anwar Ibrahim dihukum penjara lima tahun oleh mahkamah rayuan.
   
Bagi Anwar ia adalah ulangan ujian kali ketiga dipenjara. Bagi sesetengah orang mukmin, penjara bukan celaka baginya, bahkan ia penuh hikmah buatnya seperti yang dilalui oleh Nabi Yusuf AS dan ulama muktabar. Hamka menamatkan Tafsir al-Azhar dalam penjara. Sayyid Qutb menghazilkan tafsirnya yang masyhur semasa tahanan.
   
Ternyata nama Sayyid Qutb dijunjung melangit lama dan selama-lama selepas matinya tetapi  regim yang memenjaranya busuk melentung zaman berzaman.
   
Bukan mustahil wangian kasturi memancar dari bilik penjara Anwar ke awan dan ke udara, tetapi yang menghantarnya merengkok pekung tak terhidu di mana saja ia berada.
   
Paling meratap ialah warga Selangor yang hilang peluang untuk mendapat pimpinan cemerlang secara langsung daripadanya. Musibah yang menimpanya satu tragedi buat bangsa Malaysia sekurang-kurangnya untuk tempoh dia  dipenjarakan.
   
Usaha rakyat untuk menjadikannya Perdana Menteri dalam PRU akan datang seperti tersekat kecuali mahkamah membuat keputusan yang lain.
   
Bukan dia yang hendak jadi Perdana Menteri tetapi rakyat yang hendak menjadikannya Perdana Menteri. Tiada mungkin dia jadi Perdana Menteri sekadar cita-citanya sedang rakyat tidak mahu.
   
Pencita keadilan dan kebenaran tidak ghairah sangat dia hendak jadi Perdana Menteri semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri tetapi mereka mahu sangat dia jadi Perdana Menteri selepas itu. Ia masih tersekat, tetapi rakyat jangan putus asa. Jalannya ke situ belum putus selagi ajalnya belum tiba.
   
Musibah bagi semua kerana pembelaan dan perubahan tertangguh oleh penjara yang ada di tengah jalan di antara Bangunan Parlimen ke Putrajaya.
   
Sedang bulan dan matahari bagaikan gerhana oleh musibah itu datang pula musibah yang kedua tragedi sebuah pesawat MAS yang hendak ke Beijing hilang dari udara. Sukar memungkinkan ia dan muatan 239 orang itu terselamat kecuali ia ke ruang  angkasa lepas, ia mungkin boleh turun semula ke orbit bumi. Tetapi ia tidak ke angkasa lepas tetapi ia hilang sama ada di permukaan bumi atau  di dasar laut yang terbentang.
   
Malam sebelum ia terbang saya mengikuti stesyen TV CNN, BBC dan Al-Jazeera membincangkan musibah negara atas yang menimpa Anwar Ibrahim. Siang esoknya, siang malam stesyen TV yang sama membincangkan musibah kedua negara itu.
   
Kedua-duanya diratapi oleh dunia media dunia. Rangka pesawat mungkin boleh ditemui tetapi muatannya yang hilang tidak mungkin boleh dikembalikan. Tiada yang  dapat  dinyatakan selain dari kalungan takziah untuk semua – negara, rakyat dan keluarga mangsa.
   
Kekuasaan Allah. Dibawa-Nya pejumpang dari serata dunia ke Kuala Lumpur. Bersama mereka masuk ke perut pesawat yang sama untuk  sama-sama hilang di angkasa raya.
   
Tetapi Anwar masih boleh balik. Dia cuma dipinjamkan sementara ke penjara. Jarang ada pemimpin negara merdeka dan demokrasi dipenjara berkali-kali selain daripadanya. Lainlah pada zaman penjajah dulu

Selasa, 11 Mac 2014

# MH 370 SOLAT HAJAT DI MASJID & SURAU SELURUH NEGARA.


Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, YAB Ustaz Haji Dato' Ahmad Yakob menyarankan masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan para penumpang dan krew pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu 8 Mac lalu.

Ketika dihubungi pemberita, beliau juga berharap umat Islam termasuk rakyat Kelantan bertenang menerima berita yang mengejutkan itu dan tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.

Menurutnya, doa serta munajat perlu dipanjatkan sentiasa bagi memohon pertolongan Allah SWT agar diberi kemudahan dalam mencari dan menyelamat penumpang pesawat terbabit.

“Semoga anggota keluarga mangsa bersabar menerima berita sedih ini serta mengambil maklumat dari pihak yang benar-benar sah agar tidak timbul sebarang spekulasi. Kita masih berharap semoga MH370 ditemui,” ujarnya.

YAB Ustaz Haji Dato' Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan dalam laman facebooknya berkata, kerajaan negeri turut mengikuti perkembangan kehilangan pesawat itu memandangkan pembantu juruterbang pesawat MH370 ialah rakyat Kelantan.

“Kerajaan Kelantan bersedia menghulurkan bantuan yang termampu untuk meringankan beban keluarga terbabit,” ujarnya.

Isnin, 10 Mac 2014

MB K'tan kunjungi keluarga pembantu juruterbang MH370




SHAH ALAM: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan isteri hari ini mengunjungi keluarga Fariq Abdul Hamid, pembantu juruterbang pesawat MAS MH370 yang masih belum ditemui. Kunjungan ke kediaman mereka di Seksyen 7 di sini pagi ini turut disertai Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah serta beberapa Adun Kelantan yang lain. Kunjungan mereka disambut bapa Fariq, Abdul Hamid Mohd Daud dan ibu beliau serta beberapa ahli keluarga yang lain.

 Dalam pertemuan kira-kira setengah jam itu, menteri besar turut melahirkan rasa simpati Kerajaan Kelantan kepada keluarga atas apa yang berlaku. Beliau juga turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada pihak keluarga serta menasihatkan agar bersabar dengan ujian yang menimpa ini. "Beliau adalah anak buah saya sebagai rakyat Kelantan. Kita datang untuk zahir rasa simpati dan mengajak masyarakat supaya mendoakan insiden ini berakhir dengan baik," kata beliau kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas pertemuan itu. Sementara itu, Abdul Hamid berkata hati keci beliau merasakan anaknya itu masih hidup. "Jauh di sudut hati kecil saya merasakan beliau (Fariq) masih ada," ujarnya, Bagaimanapun beliau pasrah dengan apa juga ketentuan Allah namun berdoa semoga anaknya dan semua penumpang termasuk kru pesawat MH370 selamat. "Kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan beg pakaian dan pasport jika diminta untuk ke lokasi," jelasnya. Beliau juga turut berharap agar pihak media khususnya, menghormati privasi keluarga yang sedang berdepan ujian sukar ini. Fariq, 27, merupakan Pembantu Juruterbang Pesawat MAS MH370 ke Beijing yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, 8 Mac lalu. Sehingga kini, pesawat tersebut masih belum ditemui dan usaha mencari sedang giat dijalankan pihak berkuasa Malaysia dengan dibantu beberapa negara lain. Penerbangan yang membawa 239 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu dikendalikan oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53. Naik taraf lapangan terbang KB Dalam pada itu, beliau berpendapat insiden ini menunjukkan betapa perlunya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dinaik taraf segera menjadi lapangan terbang antarabangsa. Katanya, ini kerana kedudukan Kelantan sangat strategik dan berada di laluan Kuala Lumpur-Bangkok serta Kuala Lumpur Beijing. "Mengikut laporan, pesawat ini terakhir dikesan di Laut China Selatan. Ertinya Lapangan Terbang Kota Bharu sepatutnya dinaik taraf. "Kedudukannya strategik dan ianya sepatutnya boleh digunakan untuk menampung penerbangan melalui Laut China Selatan yang sangat sibuk," kata beliau.






Sabtu, 1 Mac 2014

PRK Kajang: Anwar mungkin kalah jika PR tidak bersatu

KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang mengulang seruan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Menurutnya, majoriti kecil adalah satu kekalahan, justeru Pakatan Rakyat mesti mensasarkan satu kemenangan bersejarah, yang akan membuka pencapaian dan kejayaan yang lebih besar untuk tahun-tahun akan datang.

Menurut beliau PRK Kajang adalah yang paling penting dalam sejarah Malaysia kerana ia bukan hanya penentu masa depan Kajang dan Selangor, malah seluruh negara.

“Ia bukan sekadar tentukan siapa yang akan menjadi wakil di Dewan Undangan Negeri serta corak kepimpinan dalam politik Selangor, malah paling penting, corak politik di Putrajaya.

“Maka, ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat perlu memastikan kemenangan besar Anwar, yang pasti akan memberikan mesej bahawa (kerajaan pusat) Putrajaya sedang menunggu perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14,” kata Ketua Parlimen DAP itu dipetik Roketkini.

Dalam wawancara bersama Roketkini kelmarin, Karpal menggesa jentera DAP agar berusaha ‘berhabis-habisan’ bagi memastikan Anwar mendapat majoriti besar pada PRK itu nanti.

Anwar bakal berhadapan Naib Presiden MCA, Chew Mei Fun dan kemungkinan besar bekas Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim pada 23 Mac nanti.

Sehubungan itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah meminta PKR, PAS dan DAP bersatu padu bagi mencapai matlamat itu.

Menurutnya, ada kebimbangan melihat perkembangan Pakatan dan PKR di Selangor kebelakangan ini.

“Musuh sebenar Anwar bukan calon BN atau pun Bebas, tetapi perselisihan dalaman parti,” ujarnya.

Justeru beliau menggesa ketiga-tiga parti supaya segera menyelesaikan sebarang masalah yang ada dan mengenepikan perbezaan agar tidak menjejaskan kemenangan pada PRK Kajang, yang boleh menutup sebarang peluang perubahan politik daripada berlaku.

Jumaat, 24 Januari 2014

USTAZ HARUN TAIB KEMBALI KE RAHMATULLAH

 

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menziarahi Ustaz Harun ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengah malam ini.

Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh anak Allahyarham.


Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memberitahu jenazah Almarhum Ustaz Harun dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh ahli PAS agar beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum.

“Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

“Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat  insya Allah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah subhanahu wa taala,” ujarnya lagi.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan Allah tersebut.