Jumaat, 12 April 2013

Pakatan selamat, Khalid selamat



Subky Latiff
12 Apr 2013
DARI dulu pengkritik Tan Sri Khalid Ibrahim membangkitkan Menteri Besar Selangor itu tidak selamat justeru Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali juga bertanding DUN. Maka Azmin ditonjolkan sebagai pesaing yang bakal menjadi Menteri Besar yang baru.

Sekalipun Khalid adalah dikira Menteri Besar yang terbaik buat Selangor sejak merdeka, tetapi dia bukanlah disediakan untuk menjadi Menteri Besar  saja jika Pakatan berkuasa di Putrajaya dan di Shah Alam.

Pada ketika yang  sama tidak disangkal Khalid juga dikira penting jika Putrajaya dapat ditawan.

Khalid dikira salah seorang yang terbaik untuk mengendalikan portfolio kewangan atau ekonomi jika Putrajaya diterajui.

Rekodnya membangunkan PNB dari kosong hingga berbangunan tinggi di sebelah Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur adalah bukti dia boleh mengendalikan rancangan pembangunan ekonomi negara bagi menjadi rata-rata rakyat berdikari. Dia bukan saja pintar menjaga PNB dan Selangor, dia juga tidak rasuah.

Dia terkeluar dari PNB bukan kerana dia  tidak pintar tetapi kepalanya tidak  sama  dengan kepala orang lain.

Jika Azmin juga bertanding DUN, bukan kerana hendak membuang Khalid dari Selangor, tetapi bagi  menyediakan Selangor punya lebih dari seorang calon Menteri Besar.

Dua keadaan  saja Khalid tidak menjadi Menteri Besar lagi. Pertama kalau dia kalah di DUNnya, Ijok. Kedua, kerajaan pusat Pakatan memerlukan dia di Putrajaya. Maka dalam keadaan seperti itu PKR mesti menyediakan calon yang sepadan bagi menggantikannya.

Azmin bukan sekadar calon yang sesuai bagi menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar, tetapi Azmin juga bertanding Parlimen. Jika dia juga menang  di Parlimen,  dengan Dr. Wan Azizah tidak bertanding, siapa lagi orang PKR yang terkanan untuk menganggotai kabinet selain dari Anwar Ibrahim.

Khalid yang banyak dikritik itu ialah seorang yang tidak mudah dikelentong. Ketegasannya samalah dengan Tun Dr. Ismail dalam kabinet Tunku dan Tun Razak. Mukanya tidak pernah senyum.  Para saudagar/pelobi Cina tak mahu didudukkan di sebelah Dr. Ismail di mana-mana majlis.

Mereka tidak suka kepadanya kerana dia mudah dikelentong dan kedua tak makan suap. Malah ada orang UMNO berpendapat Dr. Ismail calon yang lebih baik menggantikan Tunku dari Tun Razak. Jika dia menjadi Presiden UMNO selepas Tunku, UMNO  tentulah tidak cincai.

Khalid mewarisi ketegaskan Dr. Ismail. Baiknya Khalid, dia  tahu senyum. Dr. Islam tak senyum langsung. Tetapi  mengapa orang menghormati Dr. Ismail? Kerana dia lebih suka bekerja dari keluar bersalam dengan orangramai di waktu bekerja.

Pada pandangan saya, dengan hutang negara yang bertimbun, rasuah yang menjolok mata, ekonomi yang tidak menentu, Putrajaya memerlukan seorang seperti Khalid. Kejayaannya membangunkan PNB dan menstabilkan kewangan Selangor yang gabra dalam masa lima tahun, adalah keajaiban,  maka dia juga penting bagi memulihkan kewangan dan ekonomi negara dan keyakinan para pelabur.

Kedua-dua Khalid dan Azmin beertanding Parlimen dan DUN. Jika kedua-duanya menang kedua-dua kerusi, maka tiada siapa antara mereka yang terbuang. Kedua-duanya selamat  jika Pakatan selamat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan