Khamis, 11 April 2013

PAS T’ganu tak tergugat, ramai calon boleh menang




KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu tidak rasa tergugat dalam menghadapi Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, kerana parti itu mempunyai ramai calon winnable candidate di negeri ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, mana-mana calon pilihan PAS yang boleh menang akan diketengahkan pada pilihan raya nanti.

Katanya, kategori tersebut akan diutamakan tanpa mengira bakal calon berkenaan anak siapa atau pimpinan mana asalkan berkelayakan dan boleh menang.

Malah, kata Abdul Wahid, PAS mempunyai ramai calon bersifat demikian dari pelbagai latar belakang untuk bertanding pada PRU13 ini.

“Jadi tidak timbul soal calon ‘warisan’ sebab orang itu bersama dengan kita, layak dan boleh menang,” ujarnya mengulas pengumuman calon baru PAS bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Pusat Media PAS PRU13, di Pejabat PAS Terengganu di sini, hari ini.

Menurutnya, PAS mempunyai bakal-bakal calon bersifat demikian termasuk di kalangan 40 peratus muka baru.

Beliau turut mengumumkan Pakatan Rakyat Terengganu akan mengisytiharkan nama calon-calon yang bertanding pada 18 April ini.

Katanya, majlis diisi dengan solat hajat dan kuliah maghrib yang akan dipimpin oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan satu acara majlis baiah diadakan bersama dengan semua calon yang bertanding PRU13.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan