Khamis, 9 Ogos 2012

Tahniah: Ketua Agama Negeri anjur “Qiam With Me”



Kholidin Razak,

Saya terlihat di dalam blog tentang program “Qiam With Me” yang dianjurkan oleh Sultan Kelantan. Untuk memastikan kesahihannya saya membuat carian di laman-laman yang lebih rasmi. Hasilnya saya menemuinya di laman JAHEAIK.

Subhanallah, memang benar - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) penganjur bersama sebagai urusetia negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Kerabat Diraja Al-Muhammadi, Kuwait Finance House serta Majlis Jaksa Pendamai Kelantan akan mengadakan Program 'QIAM WITH ME' Tahun 1433H/2012M pada 20 Ramadhan 1433H bersamaan 09 Ogos 2012M (Khamis malam Jumaat) Jam 9.30 malam hingga 6.30 pagi bertempat di Dewan Jubli Perak, Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Selepas kejayaan program “Walk With Me”, kini Sultan Kelantan sekali lagi bersama-sama rakyat, tetapi pada kali ini dalam program yang jarang-jarang diadakan oleh seorang sultan yang juga merangkap Ketua Agama Negeri.

Sepanjang ingatan saya, kebanyakan program antara rakyat dan sultan hanyalah berkaitan dengan pemberian bantuan, sukan, lawatan dan sebagainya. Namun, dalam hal ini berbeza sungguh.

Baginda mengajak rakyat bersama-samanya mengadakan solat tarawih, solat malam dan solat subuh berjamaah di Istana Negeri. Saya berasa amat-amat terharu kerana adanya sultan seperti Baginda.

Saya percaya, rakyat Kelantan tentunya tidak melepaskan peluang untuk beribadat bersama-sama baginda. Rakyat Kelantan wajar berbangga kerana mempunyai sultan seperti baginda dan kami tumpang gembira.

Semoga perkara seumpama ini berterusan dan saya berdoa agar baginda dipanjangkan usia dan terus istiqamah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan