Rabu, 1 Ogos 2012

Kerana dedahkan rasuah dan salahguna kuasa pemimpin UMNO, Rafizi ditangkap



1 August 2012
KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli, ditahan polis awal pagi ini dan didakwa di mahkamah hari ini di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Banking and Financial Institutions Act – BAFIA) atas tuduhan mendedahkan butiran perbankan skandal-skandal yang melibatkan pemimpin UMNO.
Beliau yang melonjak naik dalam arena politik sejak terlibat dalam pemilihan Ketua Angkatan Muda Keadilan dua tahun lalu meningkat popular dengan pendedahan skandal Pusat Fidlot National (NFC) yang melibatkan mantan Menteri Wanita, Datuk Shahrizat Jalil dan keluarganya.
Berikutan itu, DAP mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan terhadap Rafizi kerana usaha sebenar beliau adalah mendedahkan akaun kewangan berkenaan NFC yang bertujuan memberitahu rakyat tentang salah guna kuasa kerajaan.
“Tindakan pendakwaan terhadap beliau yang membongkarkan skandal kewangan NFC memberikan mesej yang salah kepada rakyat Malaysia bahawa pemberi maklumat yang membantu memerangi rasuah adalah sesuatu yang salah dan perlu dihukum,” kata Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.
Katanya, pendakwaan tersebut juga bertentangan dengan semangat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang diluluskan Parlimen yang bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai orang berani tampil memberikan kerjasama dan bukti dalam kes-kes rasuah.
Ini jelas menunjukkan bahawa pentadbiran Najib langsung tidak serius dalam usaha memerangi rasuah dan segala slogan Transformasi Kerajaan adalah janji-janji kosong, tambah beliau.
“Rafizi sepatutnya dipuji kerana kelantangan dan keberanian beliau membongkarkan skandal kewangan NFC dan membantu usaha ke arah sistem pentadbiran yang lebih telus dan bersih. Namun, peranan beliau bukan sahaja tidak dihargai tetapi dihukum pula dengan pendakwaan yang dihadapinya sekarang.
“Pemuda DAP menggesa pihak Peguam Negara menimbang semula kes tersebut dan menggugurkan pendakwaan terhadap Rafizi kerana tindakan mendakwa beliau di mahkamah hanya akan menimbulkan lebih banyak perasaan tidak puas hati terhadap sistem keadilan negara kita di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
.
Menurut akaun Twitter Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Liew Chin Tong, “charging @rafiziramli under BAFIA (sounds like Mafia), everyone is reminded of NFC.” (Dengan mendakwa Rafizi di bawah BAFIA, bunyi macam mafia, semua orang kembali teringat kepada NFC).
Beliau juga berpendapat bahawa tindakan menangkap Rafizi itu menunjukkan bahawa ada kemungkinan tangkapan itu bertujuan untuk balas dendam terhadap pendedahan skandal George Kent, atau untuk mengalih perhatian daripada isu George Kent atau barangkali ada usaha untuk mensabotaj Najib dengan kembali menghidupkan isu NFC.
Dalam perkembangan serupa, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyebut di laman Twitter bahawa tindakan menangkap Rafizi ini ialah petunjuk bahawa pentadbiran Najib sedang menunjukkan belangnya.
Kata beliau “Najib’s iron fist coming out of velvet glove. Greatest crime in UMNO/BN Msia is not corruption but expose of corruption. Janji Ditepati” (Pentadbiran kuku besi Najib sedang meninggalkan sarung tangan baldunya. Jenayah terbesar dalam Malaysia tadbiran UMNO/BN bukanlah rasuah tetapi pembongkaran rasuah. Janji Ditepati).
Di mahkamah, Rafizi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan. Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin. Kes akan dibicarakan pada 10 September.- Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan