Jumaat, 10 Ogos 2012

Kes NFC: Rafizi, Zuraida anggap permulaan baik



Muhammad Faizal,10 Ogs 2012

KUALA LUMPUR:
 Perbicaraan kes saman bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersambung hari ini dengan sesi pertanyaan dari peguam defenden berhubung keterangan beliau sebelum ini.

Shahrizat telah mengemukakan saman RM100 juta terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung penyelewengan projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Hakim, Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan pada 18 September ini bagi sambungan perbicaraan setelah mendengar keterangan Sharizat ketika menjawab pertanyaan dari peguam plantif, Ranjit Singh.

Namun sebelum itu, Mahkamah yang bermula pada jam 10.30 pagi itu telah telah dipertontonkan rakaman video sidang media yang dibuat Rafizi dan Zuraida pada persidangan parlimen yang lepas.

Rakaman video tersebut dipertontonkan bagi menunjukkan kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin PKR yang dikatakan telah memfitnah Shahrizat.

Sementara itu, Shahrizat ketika menjawab pertanyaan Ranjit Singh berhubung penglibatan keluarganya dalam projek tersebut berkata, beliau tidak mengetahuinya sehinggalah diberitahu oleh suaminya pada tahun 2007 yang meminta kedua-dua anaknya yang berada di luar negara balik ke Malaysia bagi membantu menguruskan projek tersebut.

Rafizi dan Zuraida ketika ditanya selepas perbicaraan tersebut memberitahu apa yang berlaku hari ini adalah satu permulaan yang baik.

"Ia satu permulaan yang baik, kita dapat melihat peguam menjalankan tugas dengan baik," kata Zuraida

Rafizi yang turut menjelaskan beliau tidak mahu komen lebih banyak dengan apa yang berlaku hari ini kerana khuatir ia akan mempengaruhi perbicaraan yang sedang berlangsung.

"Tapi apa yang berlaku amat menyeronokkan dan berterima kasih dengan apa yang dilakukan peguam hari ini dan anda semua boleh menilai sendiri apa yang berlaku," jelasnya.

Rafizi diwakili Peguam, Ranjit Singh, Zuraida pula diwakili oleh Razlan Hadri manakala Sharizat pula diwakili peguam Shafie Abdullah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan