Khamis, 9 Ogos 2012

Himpunan Sejuta Umat sebelum PRU13



Ahmad Lutfi Othman,10 Ogs 2012
Catatan ini sepatutnya dirakam pada 2 Ogos lalu. Sebagai aktivis kebebasan media, saya terkesan dengan tarikh berkenaan apabila laman MerdekaReview edisi bahasa Melayu ditamatkan operasinya pada Khamis yang suram itu, ekoran masalah kewangan berpanjangan bagi membiayai  kos penyelenggaran.

Di sebelah paginya, saya dan beberapa karyawan Harakah mengunjungi Tan Sri Abd Kadir Sheikh Fadzir di pejabatnya, di The Mines, Seri Kembangan. Bekas Menteri Penerangan itu melayan mesra kami, menunjukkan gambar-gambar kenangan yang bersejarah, bercerita tentang politik Malaysia yang berada di persimpangan, dan apa yang paling mengujakan saya, bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu nampak begitu serius berbicara soal media dan politik.

Kadir secara serius mencadangkan satu perhimpunan besar-besaran Pakatan Rakyat, dengan target menghimpunkan sejuta orang, di sebuah lokasi tertutup, seumpama Stadium Bukit Jalil atau Shah Alam, bagi menunjukkan kesatuan padu parti-parti pembangkang, dan menolak dakyah elit pemerintah yang sentiasa mencari jalan untuk "mengacau-bilaukan" seteru politiknya.

"Ya, kita boleh boleh namakan apa saja, misalnya Bersih 4.0, dan saya boleh menjadi tenaga pentingnya ... Bariskan serentak pemimpin utama Pakatan, dan buat pengisytiharan bagi menamatkan salah faham, khususnya antara PAS dan DAP. Memang selama ini pun, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sudah berucap berulang kali mengenai hal itu," tegasnya, sambil bertanya apakah saya juga setuju dengan cadangan tersebut.

"Selepas himpunan sejuta di Kuala Lumpur, maka kita akan berpindah ke negeri-negeri, dengan matlamat 100,000 hadirin. Kita perlu himpunan yang mendatangkan impak besar kepada pengundi sebelum PRU13," kata Kadir sambil merujuk kejayaan himpunan Hijau anjuran PAS. "Tapi kali ini ia membabitkan semua parti pembangkang," tambahnya.

Tentunya saya lebih tertarik apabila beliau mencadangkan agar himpunan itu memfokuskan kepada tuntutan akses media yang adil dan bebas. Katanya, isu media merupakan antara perkara paling pokok dalam sistem demokrasi dan proses pilihan raya. Ia sama sekali tidak boleh dipandang remeh, katanya, sambil menekankan bahawa maklumat harus sampai ke segenap pelosok tanah air dan setiap pintu rumah.

"Tidak semestinya apabila kita berada di pihak yang benar, seperti dalam isu air di Selangor, maka rakyat secara automatik akan memihak kepada kita sekiranya kempen penerangan atau penjelasan kerajaan negeri tidak disusun dengan baik," ujar Kadir.

"Meneliti propaganda yang dimuatkan khususnya dalam TV, saya harap kita jangan pandang mudah perkara ini. Saya perhatikan, ia juga boleh mempengaruhi penonton, apataha lagi jika dipersembahkan secara yang menarik perhatian awam," katanya. Saya kira beliau mungkin merujuk slot kempen secara halus BN, selain iklan Janji Ditepati, yang semuanya menjurus untuk menentukan kecenderungan mengundi dalam PRU13 nanti.

Menyedari saya juga anak Kedah, Kadir terdorong untuk membicarakan pergolakan politik di sana. Beliau seperti membayangkan sedikit kerisauan dengan percubaan Umno untuk menonjolkan anak bekas Perdana Menteri, Mukhriz Mahathir, terutama apabila menjangkakan ia boleh mempengaruhi pola mengundi masyarakat Tionghua negeri itu.

Bagaimanapun beliau yakin dengan kewibawaan gabungan pemimpin PAS Kedah, yang diterajui Ustaz Azizan Abdul Razak. "Lihat saja barisan Exco Kerajaan Negeri, kita ada dua doktor perubatan, dua jurutera profesional, dua peguam terlatih ... Sdr sendiri tahu latar belakang pemimpin Umno Kedah, termasuk pengerusinya, 'kan?" hujahnya disambut gelak-tawa kami.

Beliau kemudiannya menyebut senarai nama pemimpin PAS yang dilihat berpotensi, dengan latar pendidikan yang hebat dan gerakerja masyarakat yang berakar umbi, malah disifatkannya jauh lebih baik berbanding pemimpin Umno.

"Melayu yang terbaik ada dalam PAS sekarang, dan jika ada pihak yang masih sayangkan Umno, maka berikanlah peluang untuk membersihkan Umno dengan menjadikannya pembangkang selepas PRU13 nanti," katanya dengan nada bersungguh-sungguh.l

Walaupun MerdekaReview tidak sempat bertapak lama dalam dunia kewartawanan khususnya ketika media baru menjadi fenomena, namun ia sempat melakar sejarah penting yang tidak akan dilupakan, dan sebenarnya telah menunjuk jalan kepada pengamal media lain. Malah saya mendoakan agar laman ini dapat dihidupkan semula. Justeru, ia belum boleh dikuburkan lagi.

Usia edisi bahasa Melayunya pun masih muda, saya kira hanya sekitar tiga tahun. Saya difahamkan, petugasnya hanya seorang, iaitu editor Lim Hong Siang, yang juga kolumnis Harakah.

Gaya Lim melapor dan menganalisis ada keunikan tersendiri. Menarik dan memikat. Laporannya pasti berbeda berbanding pemberita lain. Beliau juga ada kemahiran bercerita, yang jarang dimiliki wartawan muda lain, apatah lagi dari kalanngan bukan Melayu. Daya hidunya terhadap persoalan yang patut diketengahkan dalam laporan juga istimewa.

Lim memang anak muda yang berdedikasi dan menjiwai tugasnya. Ya, bayangkan, beliaulah editor sekali gus menjadi pemberita yang terpaksa berkejar memburu bahan. Semasa saya uzur, beberapa kali Lim berkunjung ke kediaman saya,  di Bukit Ampang. Ternyata beliau seorang rakan yang menyenangkan.


Saya minta ulasannya terhadap "2 Ogos yang tragis" itu. Menyedari saya masih lemah, Lim respons melalui FB: "Mungkin ramai  menganggap pada peringkat ini, misi paling mustahak untuk tumbangkan regim BN. Maka semua sumber dicurahkan ke arah itu. Alat propaganda parti politik lebih diutamakan. Namun tanpa disedari, suara bebas dan berkecuali diabaikan. Sebab suara ini (media alternatif) tidak terkawal, boleh jadi mengkritik diri pula.

"Namun, untuk menggerakkan pendemokrasian, saya anggap suara ini penting, meskipun ada kalanya tidak begitu enak didengar atau dilayan. Namun  masyarakat perlu dilatih untuk menyesuaikan diri dengan suara berbeza.

"Suara sedemikian juga diperlukan, tatkala lidah parti akan elak untuk sentuh sesetengah isu kerana mempertimbangkan kepentingan politik. Media alternatif sediakan ruang, melatih masyarakat  untuk bersedia menerima idea-idea  baru dan progresif."

Apa pun, bagi saya, kalimah akhir ini lebih syahdu: "Seandai kehilangan MerdekaReview mampu menyedarkan sesetengah pihak akan kepentingan media alternatif, dan melayan media alternatif dengan lebih baik pada masa depan, maka memadailah "pengorbanan" ini."


Hafiz Zainuddin, Roketkini.com, mengulas: "Ia (MerdekaReview) bukanlah sebuah medium maklumat sembrono yang memuntahkan segala caci maki dan fitnah. Jauh sekali untuk melagakan antara kaum dan agama.  Sifatnya murni, menjadi sebuah medium perantara yang bebas, agar rakyat Malaysia dapat membuat penilaian dan pemerhatian yang tidak canggung terhadap Malaysia dan pemain-pemain politiknya."

Walaupun saya sendiri tiada jalan keluar untuk menyelamatkan MerdekaReview, khususnya apabila membabitkan hal kewangan, namun saya merayu agar kita sama-sama memikirkan nasib dan masa depan laman-laman seumpama ini. Pengorbanan Lim dan rakan-rakannya jangan dibiarkan sia-sia 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan