Jumaat, 3 Ogos 2012

Menjelang PM tiba, kempen Royalti semakin aktif



Muhammad Yusri Amin,04 Ogs 2012
(Konvoi Royalti dari Kubang Kerian ke Pasir Puteh petang semalam)

KOTA BHARU: Menjelang lawatan kerja sehari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan pada 5 Ogos ini, rakyat Kelantan semakin lantang menyuarakan tuntutan royalti petroleum dan gas.

Badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) mengadakan siri konvoi royalti ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negeri ini.

Konvoi Royalti-1 Kota Bharu ke Gua Musang (Parlimen Gua Musang), manakala Konvoi-2 Kota Bharu ke Rantau Panjang (Parlimen Rantau Panjang).

Dalam perkembangan terbaru hari ini, Royalti mengadakan Konvoi Royalti-3 dari Kota Bharu ke Pasir Puteh (Parlimen Kubang Kerian dan Parlimen Pasir Puteh).

Program dianjurkan dengan kerjasama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat Kelantan (GEGAR) disertai lebih 500 peserta terdiri dari para belia yang bermotorsikal dan kereta sambil mengibar bendera merah puteh ‘royalti’ di samping menyebarkan risalah penerangan.

Pelepasan konvoi hari ini disempurnakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) Abdul Latiff Abdul Rahman di hadapan Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian dekat sini petang semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri merangkap Adun Demit Mohamad Mustafa dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Abdul Rahman Yunus.

Presiden Royalti, Nazri Deraman (gambar) berkata Konvoi Royalti-3 diadakan bertujuan antara lain menyampaikan mesej jelas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelang lawatan kerjanya ke Kelantan pada 5 Ogos ini.

“Kami menuntut supaya Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Najib serta Petronas supaya membayar royalti petroleum dan gas kepada Kelantan.

"Bahkan kami menyokong Titah Sultan Muhammad V yang bertitah supaya gas didaratkan di pantai Bachok.

“Ini kerana kawasan seluas 4,000 ekar di Bachok telah pun disediakan khususnya sebagai Zon Industri Petroleum sejak 1990-an lagi," katanya.

Nazri bercakap kepada pemberita pada upacara pelepasan peserta konvoi petang tadi.

Presiden Royalti itu berkata pihaknya menyokong saranan  Ahli  Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menyatakan sokongan kepada tuntutan royalti petroleum Kelantan.

“Bahkan Ku Li sendiri mahukan supaya pemberian royalti kepada Kelantan itu diselesaikan segera sebelum Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU-13) diadakan," katanya.

Selain itu, Royalti menuntut agar Najib Razak mematuhi “Amanat Ayah Najib @ Tun Razak”  berkaitan Perjanjian Royalti Petroleum Kelantan.

Royalti petroleum dan gas sebanyak 5 peratus yang dituntut rakyat dan Kerajaan Negeri Kelantan itu kini telah tertunggak sebanyak RM7 bilion sejak 2005.

Ini berdasarkan kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 selain Perjanjian Kelantan dengan Petronas yang ditandatangani pada 9 Mei 1975.

Dalam perjanjian itu, wang royalti atau wang tunai diberikan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan bukannya kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) atau mana-mana agensi tidak berkaitan.

Gerakan Konvoi Royalti-3 petang semalam melewati kawasan kediaman Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kampung Pulau Melaka sebelum melewati kawasan kediaman Pengerusi Jawatankuasa Wang Ehsan Kelantan merangkap Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin di Kampung Perupok, Bachok sebelum tiba di Pasir Puteh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan