Sabtu, 14 April 2012


Salahudin diraikan di Kubang Kerian

Muhammad Yusri Amin,14 Apr 2012
(Husam menyampaikan saguhati khas kepada Salahudin)

KOTA BHARU, 14 April: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub hari ini diraikan dalam mesyuarat agung PAS Kubang Kerian, kawasan parlimen yang beliau wakili.

Ini kerana, selepas ini Salahudin tidak lagi akan mewakili kawasan itu tetapi akan pulang ke Johor untuk bertanding di sana.

Salahudin menerima cenderamata khas dari Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Datuk Husam Musa.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah menyatakan kesediaan PAS Kelantan untuk melepaskan beliau.

Salahudin telah dua penggal mewakili parlimen Kubang Kerian iaitu sejak pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Beliau akan bertanding di Johor dalam pilihan raya ke 13 bagi memantapkan pasukan PAS Johor dalam menjayakan hasrat untuk menawan Putrajaya.


Najib tidak yakin

Ketika bercakap kepada pemberita, Salahudin mendakwa  walau pun banyak ‘habuan’ dicurahkan termasuk BR1M namun Perdana Menteri dirasakan tidak ada keyakinan untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihanraya Umum ketiga belas (PRU-13).

Bahkan, kata Salahuddin,  akan datang dilakukan penyenaraian Felda Global Ventures tetapi mereka dihambat dan dihantui pelbagai isu yang mereka sendiri tidak yakin.

“Jadi saya rasa, ini keadaan yang malang bagi Umno-BN, dan keadaan ini akan menjadikan rakyat lebih melihat jauh ke hadapan untuk mereka menukar driver walau pun Najib kata tak perlu tukar driver.

“Namun dalam hal demikian, mereka lihat Najib semakin tidak yakin (untuk membubarkan Parlimen dan meraih kemenangan dalam PRU-13)," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bercakap kepada pemberita selepas  Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kubang Kerian kali ke-38 di Pasir Tumboh dekat sini pagi tadi.

Turut hadir Adun  Salor yang juga Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Justeru Salahuddin mendakwa beliau cukup yakin rakyat Malaysia akan melihat Pakatan Rakyat (PR) sebagai pilihan mereka ke Putrajaya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan