Khamis, 5 Januari 2012

SAFWAN BUAT LAPORAN, DAKWA DIKASARI POLIS

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Safwan Anang hari ini menafikan dakwaan pihak polis semalam kecederaan yang dihadapi beliau akibat dirinya sendiri.

Safwan berkata, dakwaan polis itu ternyata bercanggah dengan apa yang berlaku dalam demonstrasi Bebas di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sabtu lalu itu.

"Saya tegaskan, saya memang dikasari oleh polis pada malam itu.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, petang tadi dengan diiringi peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Dalam laporan itu beliau mendakwa dirinya ditumbuk dengan kuat di sebelah kiri mulutnya dan menyebabkan bibirnya berdarah.

Beliau juga mendakwa dihentak dengan lutut dibahagian rusuknya.

laporan polis tersebut dibuat bagi menuntut siasatan dijalankan ke atas insiden kekasaran tersebut khususnya anggota polis yang terlibat pada malam itu.

"Saya percaya tindakan polis tersebut adalah merupakan satu kesalahan jenayah terhadap orang awam dan boleh disabitkan salah di bawah kanun keseksaan," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

Menurutnya lagi, akibat kekasaran itu beliau mengalami kecederaan di bibir dan mulut sakit di bahagian rusuk kanan sehingga terpaksa dirawat di hospital beberapa hari.

Ada bukti rakaman


Sementara itu, Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, pihaknya mempunyai rakaman yang menunjukkan Safwan dikasari.

Beliau juga mendakwa rakaman versi polis yang didedahkan hanya sebahagian sahaja.

"Kita juga ada bukti rakaman menunjukkan Safwan dipukul dan Juham akan beri kerjasama kepada polis dalam sisatan nanti," katanya.

Beliau juga berkata, soal Safwan lambat membuat laporan polis tidak timbul kerana keadaannya yang tidak mengizinkan..

Turut bersama, peguam Mohad Khairudin Othman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan