Selasa, 23 September 2014

Azmin angkat sumpah Menteri Besar Selangor ke-15

 KLANG: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bukit Antarabangsa, Mohamed       Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor yang baharu hari ini
Mohamed Azmin, 50, yang juga anggota Parlimen Gombak, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairong Seri, Istana Alam Shah, di sini pada kira-kira 10.45 pagi.
Timbalan Presiden PKR itu mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memegang jawatan itu lebih enam tahun, bermula 2008.
 
Turut hadir isteri Mohamed Azmin, Shamsidar Taharin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Speaker Dewan Undangan Negeri Hannah Yeoh serta empat bekas anggota Exco kerajaan negeri daripada PAS iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi dan Dr Halimah Ali.
 
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) lain daripada PKR, PAS, DAP dan Barisan Nasional (BN) bagaimanapun tidak mendapat undangan ke istiadat yang bermula 10.30 pagi itu.
 
Istiadat angkat sumpah itu disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
 
Pada istiadat itu, Mohamed Azmin yang lengkap berbaju Melayu hitam serta memakai tengkolok, turut melafazkan Akujanji 10 perkara di hadapan Sultan Sharafuddin dengan memegang lembing 'Sembuana' yang bersalut kain kuning.
 
Ia merangkumi janji untuk memelihara dan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara; memelihara dan melindungi kesucian serta keagungan agama Islam sebagai agama negeri; memelihara kedaulatan institusi Raja dan mempertahankannya daripada dicemari serta diganggu-gugat oleh mana-mana pihak; mematuhi segala arahan dan ketetapan dikeluarkan oleh Sultan Selangor dari semasa ke semasa serta memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
 
Beliau juga berakujanji untuk melaksanakan tugas dengan integriti yang tinggi, penuh rasa tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas; mendahulukan rakyat selagi ia tidak menjejaskan kepentingan, kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri.
 
Mohamed Azmin juga berakujanji untuk memelihara hubungan baik dengan kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain dalam Persekutuan; memelihara jawatan dipegang daripada dicemari dengan pelakuan yang menyalahi undang-undang serta memastikan perpaduan antara kaum dengan menitikberatkan semangat muhibah, tolak ansur dan kerjasama antara kaum.
 
Lafaz Akujanji dan keperluan memegang tombak pertama kali diperkenalkan ketika Abdul Khalid mengangkat sumpah sebagai menteri besar bagi penggal kedua pada 14 Mei tahun lepas.
 
Mohamed Azmin turut mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Anggota Dewan Diraja Negeri Selangor pada istiadat yang dizahirkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani.
 
Penggantian Abdul Khalid berlaku selepas pakatan rakyat mengambil tindakan yang dikenali sebagai "Langkah Kajang" yang menyaksikan Adun Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.
 
Bagaimanapun, Anwar hilang kelayakan bertanding apabila Pendakwa Raya menang rayuan dalam kes liwat membabitkan Anwar dengan seorang pembantunya.  
 
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada Anwar, bertanding dan memenangi kerusi itu.
 
Pada 9 Ogos lepas, PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu dan mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor tetapi tidak diperkenan oleh pihak istana.
 
Sejurus istana mengesahkan pemilihan Mohamed Azmin semalam, Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan berkata beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan