Selasa, 28 Mei 2013

Kelantan terus usaha untuk dapatkan royalti - MB


KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan terus berusaha mencari jalan,  selagi ianya tidak bercanggah dengan undang-undang, untuk mendapatkan royalti untuk negeri itu.

Inilah jaminan yang diberikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika berucap di majlis meraikan anak Kelantan di perantauan.

Beliau meraikan rombongan Persatuan Anak Kelantan Darulnaim Selangor dan Kuala Lumpur (Persada) di pejabatnya semalam.

Menurutnya, anak Kelantan juga wajar memperjuangkan hak itu di tempat masing-masing.

Dalam ucapan itu, beliau berkata, anak Kelantan di Perantauan akan berhadapan dengan cabaran yang penuh mencabar pada PRU-14, kerana cabarannya akan bertambah sengit.

Ahmad berkata, kempen PRU-14 telah bermula dari sekarang dan anak Perantau termasuk golongan muda perlu mempersiapkan diri yang lebih mantap untuk ke arah itu.

Jelasnya, dalam pilhan raya lalu, Pakatan Rakyat hampir ke Putrajaya.

“Kita belum diberi keizinan oleh Allah untuk menawan Putrajaya, tentu ada sebabnya yang perlu kita ketahui dan perbaiki,”ujarnya.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa syukur di atas pengorbanan anak Kelantan yang pulang untuk mempertahankan kemenangan kerajaan negeri baru-baru ini.

Menurutnya, pengorbanan itu selari dengan kehendak syariat kerana kepulangan untuk mempertahankan kemenangan kerajaan yang mendaulatkan syariat Islam.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Mohd Nassurudin Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Ngo negeri, Dr Ramli Mamat.

Sementara itu, Nassurudin mengingatkan anak Kelantan supaya mempamerkan identiti negeri itu di tempat masing-masing.

Menurutnya, mereka adalah duta kerajaan negeri di tempat yang mereka tinggal.

“Walau di mana kita berada, walau apa jua jawatan yang kita sandang, jangan lupa asal usul tempat kita,”ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu, Presidennya, Ali Hanafiah Muhammad.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Naib Presiden Persada Bustaman Hassan dan Setiausahanya, Razali Ismail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan