Ahad, 3 Februari 2013

"PAS tidak akan dipatuk dari lubang yang sama lagi"

Salmiyah Harun, 03 Feb 2013

(Ustaz Abdul Hadi berucap dengan penuh semangat hari ini di depan muka-muka baru yang menyertai dan menyokong PAS)

AMPANG: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan jaminan tidak akan mengkhianati amanah rakyat untuk terus kekal bersama dengan Pakatan Rakyat dan sekali-kali tidak akan bekerjasama politik dengan Umno.

"Kita sudah bekerja sama sebelum ini dan kita telah dikhianati. Kita tidak akan adakan sebarang kerjasama politik lagi dengan Umno.

"Kita tidak akan dipatuk melalui satu lubang yang sama sekali lagi," kata beliau di hadapan 300 tokoh-tokoh yang merupakan ahli baru PAS di Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS di hotel De Palma, Ampang hari ini.

Ustaz Hadi memberikan janji ini berikutan usaha Umno dan pelbagai pihak yang tidak putus-putus cuba memecahkan PAS dari Pakatan Rakyat. Namun katanya, PAS boleh bekerjasama dengan Umno dalam bidang lain termasuk untuk membela rakyat Palestin sebagaimana yang dibuat sebelum ini.

Beliau yang penuh bersemangat dan memberikan ucapan panjang di himpunan hari ini kelihatan sangat gembira dengan muka-muka baru yang beliau lihat dalam majlis hari ini.


(Bergambar kenangan bersama kepimpinan PAS)


Turut serta bersama beliau adalah hampir kesemua pimpinan kanan PAS termasuklah timbalannya Haji Mohamad Sabu, naib-naib Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pengarah Pilihan Raya Dr Hatta Ramli juga hadir.

Pelbagai golongan ahli baru PAS hadir dalam progam julung-julung kali diadakan termasuklah golongan akademik, profesional, agamawan, mahasiswa, artis dan ramai lagi.

Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Yahya Lampong, bekas Ahli MT Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil, Datuk Tamrin Ghaffar turut hadir.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Himpunan tersebut. Majlis dipengerusikan oleh ahli baru PAS iaitu bekas pelakon dan pengacara terkenal Bob Lokman.

Dalam ucapannya, Ustaz Hadi mengajak ahli khasnya yang baru menyertai PA agar menunjukkan budaya Islam di samping mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menuju perubahan yang pasti akan berlaku.

Katanya, PAS tidak pernah mengkianati demokrasi yang menjadi amalan negara ini dan melalui inilah PAS mahukan sistem pilihan raya yang adil.

"Kita memilih demokrasi tulen, dan inilah yang diseru oleh agama Islam," katanya.

Abdul Hadi juga menegaskan kerajaan yang menegakkan Islam sebaik-baiknya, Melayu akan selamat tetapi sebaliknya Islam tidak semestinya selamat jika menegakkan Melayu.

Malah katanya, Islam sendiri menegaskan bahawa raja mesti diperkasakan dengan penasihat-penasihat yang adil.

"Islam menerima sistem beraja dengan syarat mesti adil dan berpandukan kepada hukum Allah dan Al-Quran," katanya.

Apa yang dikesalkan, lebih 50 tahun Umno BN mentadbir negara ini, Abdul Hadi menyifatkan orang Melayu sudah ketinggalan tentang kefahaman Islam apatah lagi orang bukan Islam pula tidak 'nampak Islam' yang sebenar.

Tetapi katanya, sejak PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP mereka di kalangan orang Cina sudah mula membaca buku-buku Islam termasuklah Al-quran.

Justeru Abdul Hadi percaya sekiranya Islam dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh mesej yang akan disampaikan kepada bukan Islam akan tercapai.

1 ulasan:

  1. Website paling ternama dan paling terpercaya di Asia
    Sistem pelayanan 24 Jam Non-Stop bersama dengan CS Berpengalaman respon tercepat
    Memiliki 8 Jenis game yang sangat digemari oleh seluruh peminat poker / domino
    Link Alternatif :
    arena-domino.net
    arena-domino.org
    100% Memuaskan ^-^

    BalasPadam