Rabu, 21 September 2011

SUASANA KINI KONDUSIF - TG DATUK NIK AZIZ

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap bertegas untuk meneruskan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan walaupun negeri itu dikatakan berada dalam keadaan tidak kondusif bagi melaksanakan undang-undang berkenaan.

Beliau berkata, keadaan Kelantan sudah lama kondusif untuk pelaksanaan hukum hudud dan ini dibuktikan melalui tiga asas agama yang dilaksanakan dalam pentadbiran kerajaan negeri iaitu Ubudiah, Masuliah dan Itqan.

Nik Aziz (gambar) menambah selain itu, setiap Jumaat diadakan kuliah agama yang turut membabitkannya, selain banyak pelaksanaan projek menjurus kepada keperluan rakyat, sekali gus menjadikan asas cukup kondusif bagi melaksanakan hukum hudud di negeri ini.

“Sebenarnya, kita sudah lama mewujudkan suasana kondusif ke arah pelaksanaan hukum hudud, selain mempunyai mekanisme untuk melaksanakannya iaitu mereka yang mempunyai ilmu mencukupi dalam bidang berkenaan iaitu kadi dan hakim, tanpa membabitkan orang politik,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.

Dipetik Sinar Harian, Nik Aziz berkata, Kelantan memulai kempen pelaksanaan hudud sejak 1993 dengan menggiatkan pelbagai bentuk penerangan kepada rakyat.

Katanya, Kelantan ditadbir PAS berpandukan ajaran Islam melahirkan rakyat berpengetahuan termasuk berkaitan hukum hudud.

“Asas kondusif sudah cukup kemas,” kata Mursyidul Am PAS ini.

Kelmarin, bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Kelantan tidak boleh melaksanakan hukum hudud kerana negeri itu tidak kondusif.

Ditanya jika pakatan pembangkang lain tidak bersetuju dengan pelaksanaan itu, Nik Aziz berkata, persoalan itu perlu ditanyakan kepada pihak berkenaan mengapa tidak bersetuju terhadap perkara itu.

Asri berkata pelaksanaan hukum hudud memerlukan ijtihad ataupun tafsiran baru dengan mengambil kira aspek perubahan zaman dan tempat.

“Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan sunah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat,” kata beliau.

Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini, kata beliau sambil menambah, “cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan.”

Asri juga berkata, pelaksanaan hudud hendaklah mengambil kira persoalan suasana hudud itu dilaksanakan kerana suasana yang tidak kondusif akan menyebabkan kesan negatif kepada pelaksanaan sesuatu hukuman.

“Ini kerana Nabi s.a.w sendiri mengambil kira persoalan ini,” katanya.

Katanya ia bermakna pelaksanaan hudud yang membawa kepada umat Islam lari atau salahfaham terhadap Islam, atau Islam ditohmah dengan tuduhan liar sehingga menggugat keimanan umat Islam yang lain patut dielakkan.

“Hari ini suasana berubah, media massa sering digunakkan untuk memberikan imej yang salah mengenai Islam. Persediaan ke arah menangani hal itu juga amat penting,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan