Selasa, 31 Julai 2012

Pakatan umum tema Hari Kebangsaan ganti Janji Ditepati



KUALA LUMPUR 31 Julai: Pakatan Rakyat (Pakatan) akan mengumumkan tema alternatif  sambutan Hari Kemerdekaan esok bagi menggantikan tema yang dipilih kerajaan menerusi slogan BN, ‘Janji Ditepati’.
Untuk itu, satu jawatankuasa khas ditubuhkan dan ia akan dipengerusikan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.
Turut menganggotai jawatankuasa itu bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Gerakan, Dr Toh Kin Woon dan Pengarah Eksekutif  Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, jawatankuasa itu akan memilih tema Hari Kemerdekaan yang dicadangkan oleh rakyat selepas Pakatan membuka ruang kepada umum untuk berbuat demikian.
“Sebelum ini, kita beri tempoh seminggu kepada kerajaan untuk tukar tema hari merdeka agar lebih inklusif dan merangkumi semangat kemerdekaan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bersama wakil KEADILAN dan DAP.
Hadir sama, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar; Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli;  Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari.
Mustafa berkata, selepas pengumuman tersebut, Pakatan menerima lebih kurang 250 cadangan tema kemerdekaan daripada pelbagai pihak.
“Setakat ini kita terima lebih kurang 250 cadangan tema daripada rakyat. Oleh itu, jawatankuasa ini ditubuhkan untuk memilih tema yang terbaik,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=33715

Tiada ulasan:

Catat Ulasan