Jumaat, 18 April 2014

Perarakan dijadual singgah di tiga lokasi bermakna


 Bernama | Kemas kini: April 18, 2014

Perarakan dijadual singgah di tiga lokasi bermakna
GEORGE TOWN: Perarakan membawa jasad mendiang Karpal Singh pada Ahad ini akan melakukan tiga 'persinggahan bermakna' semasa dalam perjalanan dari Dewan Sri Pinang ke Krematorium Batu Gantung, demikian diumumkan di sini hari ini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang mengetuai jawatankuasa pengebumian negeri bagi Karpal Singh, berkata persinggahan itu adalah kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, tempat mendiang bertugas sebagai peguam; Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, lokasi beliau memulakan kerjaya politiknya; dan St Xavier's Institution, sekolah lama Karpal Singh.

Ketiga-tiga persinggahan itu ditetapkan oleh jawatankuasa pengebumian bagi membolehkan sesi fotografi dijalankan memandangkan lokasi terlibat sangat bermakna bagi Karpal Singh, katanya kepada pemberita.

Perarakan itu akan bermula di Dewan Sri Pinang pada 11 pagi, katanya.

Karpal Singh terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 1.10 pagi semalam membabitkan kenderaan MPV yang dinaikinya dan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Perak.

Pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius, 39, turut maut dalam kemalangan
itu.

Perarakan jasad Karpal Singh dijangka bermula pada 8.15 pagi dari rumah mendiang di 144A, Jalan Utama di sini, menuju ke Dewan Sri Pinang.

Terdahulu, di rumah mendiang hari ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang mengetuai sekumpulan anggota parti menutup keranda mendiang dengan bendera parti.

Chow berkata orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir kepada Karpal Singh juga di Dewan Sri Pinang pada Ahad.

Beliau berkata upacara sembahyang agama Sikh akan diadakan di Dewan Sri Pinang.

TGNA | Kuliah Jumaat 18 April 2014

Ustaz Asri Daud | Kuliah Jumaat 18 April 2014