Khamis, 13 Mac 2014

DUA MUSIBAH DALAM 24 JAM

Negara dilanda dua musibah dalam masa 24 jam dari petang Jumaat 7 Mac hingga pagi Sabtu 8 Mac lalu.
   
Kata saya pada kedua-dua musibah itu, ‘Inna lillah wainna ilaihirojiun.’
   
Yang pertama, musibah yang menimpa rakyat khususnya di Kajang dan Selangor ia berita Anwar Ibrahim dihukum penjara lima tahun oleh mahkamah rayuan.
   
Bagi Anwar ia adalah ulangan ujian kali ketiga dipenjara. Bagi sesetengah orang mukmin, penjara bukan celaka baginya, bahkan ia penuh hikmah buatnya seperti yang dilalui oleh Nabi Yusuf AS dan ulama muktabar. Hamka menamatkan Tafsir al-Azhar dalam penjara. Sayyid Qutb menghazilkan tafsirnya yang masyhur semasa tahanan.
   
Ternyata nama Sayyid Qutb dijunjung melangit lama dan selama-lama selepas matinya tetapi  regim yang memenjaranya busuk melentung zaman berzaman.
   
Bukan mustahil wangian kasturi memancar dari bilik penjara Anwar ke awan dan ke udara, tetapi yang menghantarnya merengkok pekung tak terhidu di mana saja ia berada.
   
Paling meratap ialah warga Selangor yang hilang peluang untuk mendapat pimpinan cemerlang secara langsung daripadanya. Musibah yang menimpanya satu tragedi buat bangsa Malaysia sekurang-kurangnya untuk tempoh dia  dipenjarakan.
   
Usaha rakyat untuk menjadikannya Perdana Menteri dalam PRU akan datang seperti tersekat kecuali mahkamah membuat keputusan yang lain.
   
Bukan dia yang hendak jadi Perdana Menteri tetapi rakyat yang hendak menjadikannya Perdana Menteri. Tiada mungkin dia jadi Perdana Menteri sekadar cita-citanya sedang rakyat tidak mahu.
   
Pencita keadilan dan kebenaran tidak ghairah sangat dia hendak jadi Perdana Menteri semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri tetapi mereka mahu sangat dia jadi Perdana Menteri selepas itu. Ia masih tersekat, tetapi rakyat jangan putus asa. Jalannya ke situ belum putus selagi ajalnya belum tiba.
   
Musibah bagi semua kerana pembelaan dan perubahan tertangguh oleh penjara yang ada di tengah jalan di antara Bangunan Parlimen ke Putrajaya.
   
Sedang bulan dan matahari bagaikan gerhana oleh musibah itu datang pula musibah yang kedua tragedi sebuah pesawat MAS yang hendak ke Beijing hilang dari udara. Sukar memungkinkan ia dan muatan 239 orang itu terselamat kecuali ia ke ruang  angkasa lepas, ia mungkin boleh turun semula ke orbit bumi. Tetapi ia tidak ke angkasa lepas tetapi ia hilang sama ada di permukaan bumi atau  di dasar laut yang terbentang.
   
Malam sebelum ia terbang saya mengikuti stesyen TV CNN, BBC dan Al-Jazeera membincangkan musibah negara atas yang menimpa Anwar Ibrahim. Siang esoknya, siang malam stesyen TV yang sama membincangkan musibah kedua negara itu.
   
Kedua-duanya diratapi oleh dunia media dunia. Rangka pesawat mungkin boleh ditemui tetapi muatannya yang hilang tidak mungkin boleh dikembalikan. Tiada yang  dapat  dinyatakan selain dari kalungan takziah untuk semua – negara, rakyat dan keluarga mangsa.
   
Kekuasaan Allah. Dibawa-Nya pejumpang dari serata dunia ke Kuala Lumpur. Bersama mereka masuk ke perut pesawat yang sama untuk  sama-sama hilang di angkasa raya.
   
Tetapi Anwar masih boleh balik. Dia cuma dipinjamkan sementara ke penjara. Jarang ada pemimpin negara merdeka dan demokrasi dipenjara berkali-kali selain daripadanya. Lainlah pada zaman penjajah dulu

Selasa, 11 Mac 2014

# MH 370 SOLAT HAJAT DI MASJID & SURAU SELURUH NEGARA.


Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, YAB Ustaz Haji Dato' Ahmad Yakob menyarankan masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan para penumpang dan krew pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu 8 Mac lalu.

Ketika dihubungi pemberita, beliau juga berharap umat Islam termasuk rakyat Kelantan bertenang menerima berita yang mengejutkan itu dan tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.

Menurutnya, doa serta munajat perlu dipanjatkan sentiasa bagi memohon pertolongan Allah SWT agar diberi kemudahan dalam mencari dan menyelamat penumpang pesawat terbabit.

“Semoga anggota keluarga mangsa bersabar menerima berita sedih ini serta mengambil maklumat dari pihak yang benar-benar sah agar tidak timbul sebarang spekulasi. Kita masih berharap semoga MH370 ditemui,” ujarnya.

YAB Ustaz Haji Dato' Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan dalam laman facebooknya berkata, kerajaan negeri turut mengikuti perkembangan kehilangan pesawat itu memandangkan pembantu juruterbang pesawat MH370 ialah rakyat Kelantan.

“Kerajaan Kelantan bersedia menghulurkan bantuan yang termampu untuk meringankan beban keluarga terbabit,” ujarnya.

Isnin, 10 Mac 2014

MB K'tan kunjungi keluarga pembantu juruterbang MH370




SHAH ALAM: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan isteri hari ini mengunjungi keluarga Fariq Abdul Hamid, pembantu juruterbang pesawat MAS MH370 yang masih belum ditemui. Kunjungan ke kediaman mereka di Seksyen 7 di sini pagi ini turut disertai Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah serta beberapa Adun Kelantan yang lain. Kunjungan mereka disambut bapa Fariq, Abdul Hamid Mohd Daud dan ibu beliau serta beberapa ahli keluarga yang lain.

 Dalam pertemuan kira-kira setengah jam itu, menteri besar turut melahirkan rasa simpati Kerajaan Kelantan kepada keluarga atas apa yang berlaku. Beliau juga turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada pihak keluarga serta menasihatkan agar bersabar dengan ujian yang menimpa ini. "Beliau adalah anak buah saya sebagai rakyat Kelantan. Kita datang untuk zahir rasa simpati dan mengajak masyarakat supaya mendoakan insiden ini berakhir dengan baik," kata beliau kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas pertemuan itu. Sementara itu, Abdul Hamid berkata hati keci beliau merasakan anaknya itu masih hidup. "Jauh di sudut hati kecil saya merasakan beliau (Fariq) masih ada," ujarnya, Bagaimanapun beliau pasrah dengan apa juga ketentuan Allah namun berdoa semoga anaknya dan semua penumpang termasuk kru pesawat MH370 selamat. "Kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan beg pakaian dan pasport jika diminta untuk ke lokasi," jelasnya. Beliau juga turut berharap agar pihak media khususnya, menghormati privasi keluarga yang sedang berdepan ujian sukar ini. Fariq, 27, merupakan Pembantu Juruterbang Pesawat MAS MH370 ke Beijing yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, 8 Mac lalu. Sehingga kini, pesawat tersebut masih belum ditemui dan usaha mencari sedang giat dijalankan pihak berkuasa Malaysia dengan dibantu beberapa negara lain. Penerbangan yang membawa 239 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu dikendalikan oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53. Naik taraf lapangan terbang KB Dalam pada itu, beliau berpendapat insiden ini menunjukkan betapa perlunya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dinaik taraf segera menjadi lapangan terbang antarabangsa. Katanya, ini kerana kedudukan Kelantan sangat strategik dan berada di laluan Kuala Lumpur-Bangkok serta Kuala Lumpur Beijing. "Mengikut laporan, pesawat ini terakhir dikesan di Laut China Selatan. Ertinya Lapangan Terbang Kota Bharu sepatutnya dinaik taraf. "Kedudukannya strategik dan ianya sepatutnya boleh digunakan untuk menampung penerbangan melalui Laut China Selatan yang sangat sibuk," kata beliau.






Sabtu, 1 Mac 2014

PRK Kajang: Anwar mungkin kalah jika PR tidak bersatu

KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang mengulang seruan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Menurutnya, majoriti kecil adalah satu kekalahan, justeru Pakatan Rakyat mesti mensasarkan satu kemenangan bersejarah, yang akan membuka pencapaian dan kejayaan yang lebih besar untuk tahun-tahun akan datang.

Menurut beliau PRK Kajang adalah yang paling penting dalam sejarah Malaysia kerana ia bukan hanya penentu masa depan Kajang dan Selangor, malah seluruh negara.

“Ia bukan sekadar tentukan siapa yang akan menjadi wakil di Dewan Undangan Negeri serta corak kepimpinan dalam politik Selangor, malah paling penting, corak politik di Putrajaya.

“Maka, ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat perlu memastikan kemenangan besar Anwar, yang pasti akan memberikan mesej bahawa (kerajaan pusat) Putrajaya sedang menunggu perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14,” kata Ketua Parlimen DAP itu dipetik Roketkini.

Dalam wawancara bersama Roketkini kelmarin, Karpal menggesa jentera DAP agar berusaha ‘berhabis-habisan’ bagi memastikan Anwar mendapat majoriti besar pada PRK itu nanti.

Anwar bakal berhadapan Naib Presiden MCA, Chew Mei Fun dan kemungkinan besar bekas Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim pada 23 Mac nanti.

Sehubungan itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah meminta PKR, PAS dan DAP bersatu padu bagi mencapai matlamat itu.

Menurutnya, ada kebimbangan melihat perkembangan Pakatan dan PKR di Selangor kebelakangan ini.

“Musuh sebenar Anwar bukan calon BN atau pun Bebas, tetapi perselisihan dalaman parti,” ujarnya.

Justeru beliau menggesa ketiga-tiga parti supaya segera menyelesaikan sebarang masalah yang ada dan mengenepikan perbezaan agar tidak menjejaskan kemenangan pada PRK Kajang, yang boleh menutup sebarang peluang perubahan politik daripada berlaku.