Jumaat, 8 Februari 2013

Siapa sebenarnya tolak keputusan rakyat?

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan PAS tidak pernah tidak menerima keputusan rakyat tetapi sikap itu selalu ditunjukkan BN.

"Semasa rakyat Perak menolak BN melalui pru 12, BN bertindak merampas Perak melalui pembelian wakil rakyat untuk merampas Perak kembali.

"Semasa rakyat Terengganu memilih PAS dalam pilihan raya 1999, BN yang rampas royalti minyak dari rakyat Terengganu.

"Jadi sebenarnya siapa yang tidak terima keputusan rakyat. BN atau PAS?" soal TG Abdul Hadi dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Kenyataan yang dikeluarkan melalui Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu berikutan kenyataan Perdana Menteri yang disiarkan media hari ini.

Dalam kenyataan itu Najib meminta Pakatan Rakyat menerima keputusan rakyat dalam pilihan raya umum nanti.

Bagi Presiden PAS itu, sebelum Najib membuat kenyataan itu dia sepatutnya menilai dahulu tindakannya sebelum ini.

Ini kerana tindakan BN sebelum ini yang banyak menafikan hak rakyat untuk memilih.

Bagi beliau, tindakan BN menarik royalti minyak dari kerajaan negeri Terengganu selepas rakyat memilih PAS untuk mentadbir negeri itu dalam pilihan raya 1999 membukti sikap BN sebenarnya yang tidak boleh menerima keputusan rakyat.

‘Kalau Mazlan terlepas masuk, kita buat huru-hara’


KUALA LUMPUR: Satu rakaman video menunjukkan mesyuarat membincangkan perancangan untuk menghalang ceramah Anak di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor pada 4 Februari lalu tersebar di internet.

Rakaman sepanjang 15 minit itu dimuat naik ke Youtube sejak semalam dengan tajuk "Perancangan jahat Umno untuk serang ceramah ANAK
".

Rakaman itu antara lain memaparkan sekumpulan orang mendengar penerangan dari pengerusi mesyuarat yang dipercayai Pengerusi Felda Sungai Tengi, berhubung tindakan untuk menghalang rombongan Presiden Anak, Mazlan Aliman.

Antara lain, pengerusi mesyuarat tersebut menyebut, "Jika Mazlan terlepas masuk, kita ikut arahan polis supaya kita buat huru-hara".

Beliau turut menyebut arahan tersebut adalah dari pegawai polis daerah Kuala Kubu Baru.

Bagaimanapun kata pengerusi mesyuarat tersebut, sebolehnya jangan berlaku pergaduhan.

Dalam pada itu maklumat yang turut dinyatakan di Youtube itu mendakwa antara yang terlibat dalam sekatan tersebut termasuk pengurusan Felda Sungai Tengi, peneroka, Perkasa dan beberapa lagi NGO dari luar yang turut diminta membantu mereka.

Sementara itu, Mazlan dalam komen ringkasnya di Facebook berkata, rakaman mesyuarat tersebut akan diserahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut.

"Motif menghalang saya dan Anak hanya semata-mata Anak kononnya pertubuhan haram.

"Terima kasih kepada indiividu yang merakam dan share dlm laman sosial spt ini," tulisnya.

Lihat http://www.youtube.com/watch?v=8Yj76vCYBzA&feature=share

Khamis, 7 Februari 2013

Royalti: Razaleigh akan dilantik Penaung R-5

Salmiyah Harun, 07 Feb 2013


KUALA LUMPUR: Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) akan melantik bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai penaung sebuah gerakan yang lebih besar iaitu R-5.

Menurut Presiden Royalti atau R, Nazri Deraman berkata, gabungan yang dikenali sebagai R-5 itu adalah gabungan seluruh rakyat dari negeri-negeri pengeluar minyak iaitu Kelantan, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang.

"Sebelum ini kita bentuk R sebagai Ngo sahaja, kali ini kita akan tubuhkan gerakan yang lebih besar. Jika di peringkat luar negara dikenali sebagai Opec," katanya dalam sidang media di hadapan bangunan KLCC tengah hari tadi.

Nazri berkata, Tengku Razaleigh turut bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan R-5 dan akan mempertimbangkan secara mendalam untuk menyertainya.

Jelasnya, R telah mengadakan perbincangan hampir tiga jam bersama Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang di kediamannya di Langgak Golf di sini, semalam.

Sehubungan itu, Nazri turut menjelaskan Petronas masih gagal memberi maklum balas terhadap memorandum dan surat yang telah dihantar pada 10 Januari sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat lepas.

Antara kandungan memorandum yang diserahkan kepada CEO Petronas, iaitu tuntutan royalti terhadap negeri pengeluar minyak khususnya Kelantan yang tertunggak sebanyak RM12 bilion, mendesak agar Petronas buat bayaran tunai kepada negeri pengeluar minyak seperti mana dalam perjanjian.

Malangnya, kata beliau, pada 3 November 2013 Petronas telah menjelaskan royalti kepada kerajaan negeri melalui kerajaan Persekutuan.

"Ini menunjukkan Petronas engkar dengan perjanjian yang ditandatangani pada 9 Mei 1975, sepatutnya Petronas membayar terus kepada negeri pengeluar minyak. Kita minta dia bayar terus ke negeri terbabit termasuklah Kelantan," katanya.

R juga, ujarnya meminta Perdana Menteri memberi maklumat tepat terhadap pertindihan telaga minyak di lokasi Medan Bertam PM307 antara negeri Pahang dan Terengganu.

"Hasil kajian yang dibuat oleh R lokasi PM307 itu adalah milik negeri Terengganu, Petronas harus nyatakan maklumat dengan tepat kepada rakyat," katanya

Ahad, 3 Februari 2013

"PAS tidak akan dipatuk dari lubang yang sama lagi"

Salmiyah Harun, 03 Feb 2013

(Ustaz Abdul Hadi berucap dengan penuh semangat hari ini di depan muka-muka baru yang menyertai dan menyokong PAS)

AMPANG: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan jaminan tidak akan mengkhianati amanah rakyat untuk terus kekal bersama dengan Pakatan Rakyat dan sekali-kali tidak akan bekerjasama politik dengan Umno.

"Kita sudah bekerja sama sebelum ini dan kita telah dikhianati. Kita tidak akan adakan sebarang kerjasama politik lagi dengan Umno.

"Kita tidak akan dipatuk melalui satu lubang yang sama sekali lagi," kata beliau di hadapan 300 tokoh-tokoh yang merupakan ahli baru PAS di Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS di hotel De Palma, Ampang hari ini.

Ustaz Hadi memberikan janji ini berikutan usaha Umno dan pelbagai pihak yang tidak putus-putus cuba memecahkan PAS dari Pakatan Rakyat. Namun katanya, PAS boleh bekerjasama dengan Umno dalam bidang lain termasuk untuk membela rakyat Palestin sebagaimana yang dibuat sebelum ini.

Beliau yang penuh bersemangat dan memberikan ucapan panjang di himpunan hari ini kelihatan sangat gembira dengan muka-muka baru yang beliau lihat dalam majlis hari ini.


(Bergambar kenangan bersama kepimpinan PAS)


Turut serta bersama beliau adalah hampir kesemua pimpinan kanan PAS termasuklah timbalannya Haji Mohamad Sabu, naib-naib Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pengarah Pilihan Raya Dr Hatta Ramli juga hadir.

Pelbagai golongan ahli baru PAS hadir dalam progam julung-julung kali diadakan termasuklah golongan akademik, profesional, agamawan, mahasiswa, artis dan ramai lagi.

Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Yahya Lampong, bekas Ahli MT Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil, Datuk Tamrin Ghaffar turut hadir.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Himpunan tersebut. Majlis dipengerusikan oleh ahli baru PAS iaitu bekas pelakon dan pengacara terkenal Bob Lokman.

Dalam ucapannya, Ustaz Hadi mengajak ahli khasnya yang baru menyertai PA agar menunjukkan budaya Islam di samping mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menuju perubahan yang pasti akan berlaku.

Katanya, PAS tidak pernah mengkianati demokrasi yang menjadi amalan negara ini dan melalui inilah PAS mahukan sistem pilihan raya yang adil.

"Kita memilih demokrasi tulen, dan inilah yang diseru oleh agama Islam," katanya.

Abdul Hadi juga menegaskan kerajaan yang menegakkan Islam sebaik-baiknya, Melayu akan selamat tetapi sebaliknya Islam tidak semestinya selamat jika menegakkan Melayu.

Malah katanya, Islam sendiri menegaskan bahawa raja mesti diperkasakan dengan penasihat-penasihat yang adil.

"Islam menerima sistem beraja dengan syarat mesti adil dan berpandukan kepada hukum Allah dan Al-Quran," katanya.

Apa yang dikesalkan, lebih 50 tahun Umno BN mentadbir negara ini, Abdul Hadi menyifatkan orang Melayu sudah ketinggalan tentang kefahaman Islam apatah lagi orang bukan Islam pula tidak 'nampak Islam' yang sebenar.

Tetapi katanya, sejak PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP mereka di kalangan orang Cina sudah mula membaca buku-buku Islam termasuklah Al-quran.

Justeru Abdul Hadi percaya sekiranya Islam dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh mesej yang akan disampaikan kepada bukan Islam akan tercapai.