Selasa, 23 Oktober 2012

KULLU AAMIN WA ANTUM BIKHAIR

Himpunan bantah Chua Soi Lek esok



Harakahdaily,23 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS menganjurkan himpunan aman dan serahan memorandum bagi membantah kebiadapan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terhadap Islam pada hari Rabu, esok.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, ia akan diadakan jam 2.30 petang  di hadapan Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumput.

Himpunan ini diadakan ekoran kebiadaban Dr Chua Soi Lek yang menyerang Islam habis-habisan dan secara berterusan.

Terbaru, Chua berkata, negara yang melaksanakan hudud adalah negara yang paling tinggi gejala rasuahnya.

Ekoran itu, pelbagai pertubuhan khasnya PAS telah membantah kenyataan ini kerana ia bukan lagi menyerang PAS atau DAP yang menjadi musuh politiknya, tetapi menyerang Islam selaku agama rasmi negara ini.

Turut membuat bantahan terhadap kenyataan Chua adalah Abim, Ikram dan pelbagai pertubuhan Islam lagi.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dalam kenyataannya berkata, selama ini pemimpin Umno yang paling banyak menghina Islam.

"Kerja jahat itulah yang kini disambung oleh Chua sekarang dengan restu Umno yang sengaja berdiam diri dengan perbuatan Presiden MCA itu menghina Islam," katanya.

Mohamad bagaimanapun menolak dengan tegas untuk menghina agama Chua.

"Kita tidak akan hina agama Presiden MCA itu seperti dia menghina agama kita kerana perbuatan itu dilarang di dalam al-Quran.

"Kita adalah manusia yang bertamaddun yang tidak akan melakukan kejahatan seperti yang dilakukan oleh Chua," tegas beliau

Isnin, 22 Oktober 2012

TG Nik Aziz pernah tolak jadi MB - Presiden PAS



Aslani M,22 Okt 2012
KOTA BHARU: Hari ini genap 22 tahun usia kerajaan di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI). Tanggal 22 Oktober 1990 kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah berjaya dibentuk.

DAP diwakili Penasihatnya, Lim Kit Siang dan Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nur Manuty merakamkan ucapan tahniah usia 22 tahun kepemimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Begitu juga Presiden PAS dan pelbagai pihak tidak ketinggalan merakam ucapan sama.

“Tahniah PAS di Kelantan kerana berjaya mempertahankan kerajaan negeri sehingga melewati tahun ke-22 sekarang,” kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, gabungan PAS bersama Semangat 46, Berjasa dan Hamim berjaya membentuk kerajaan selepas menumbangkan Umno dan BN dengan 39 – 0 di peringkat Dun.

“Saya masih ingat selepas Umno dan BN berjaya ditumbangkan di Kelantan, Presiden PAS ketika itu Allahyarham Datuk Fadhil Mohd Nor mengarah diadakan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat di Kota Bharu.

“Ketika itu diputuskan Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya menerima jawatan sebagai Menteri Besar.

“Namun pada awalnya beliau tidak mahu dan meminta dicari pemimpin lain. Bagaimanapun jawatankuasa PAS Pusat berkeras supaya beliau menerima juga jawatan Menteri Besar.

“Ini cukup penting bagi melakar satu sejarah baru buat PAS, dan ia terbukti berjaya sekarang,” katanya pada ceramah perdana sempena ulangtahun ke-22 kerajaan Kelantan di Dewan Jubli Perak malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Lim Kit Siang, Dr Muhd Nur Manuty, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Ceramah tersebut sepatutnya diadakan di padang perdana, namun disebabkan hujan lebat terpaksa dipindahkan ke dalam Dewan Jubli Perak MPKB BRI.

Orang ramai tetap hadir biar pun keadaan hujan yang mencurah-curah di Kelantan sejak Jumaat lalu.

Presiden berkata, kerajaan Kelantan yang diketuai PAS berjaya menempuh pelbagai halangan dan sekatan sepanjang 22 tahun mentadbir negeri ini.

Katanya, Umno mewujudkan juga jawatan JKKK biar pun bidang kuasanya di bawah kerajaan negeri.

“Oleh itu menjadi tanggungjawab rakyat Kelantan untuk terus mempertahankan negeri ini ketika Pakatan Rakyat sedang bergerak ke Putrajaya sekarang.

“Kelantan yang menjadi guru kepada perubahan politik di negeri-negeri lain sekarang mesti terus dipertahankan,” ujarnya.

Sementara Lim Kit Siang yang juga anggota parlimen Ipoh Timur menjelaskan DAP tidak pernah berhasrat menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Kristian.

“Mana boleh kerana perkara yang terkandung dalam  perlembagaan sudah jelas,” katanya menjawab isu yang dibangkit media Umno sebelum ini.

Menurutnya juga kejayaan berganda Kelantan termasuk menjuarai Piala Malaysia seakan-akan memberi isyarat peluang Pakatan mara ke Putrajaya semakin jelas

Ahad, 21 Oktober 2012

Piala Malaysia: Presiden PAS ucap tahniah



Salmiyah Harun,21 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada pasukan Kelantan di atas kejayaan menjadi juara Piala Malaysia malam tadi.


“Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin ke arah meningkatkan prestasi bola sepak negara ke peringkat antabangsa di masa akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang menjadi naib johan dan diharapkan prestasi akan terus meningkat di masa hadapan.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan The Red Warriors yang telah berjaya membawa pulang Piala Malaysia buat kali kedua kepada negeri itu.

Katanya, rakyat Kelantan berbangga dengan kemenangan ini dan meminta para penyokong meraikan kemenangan ini dengan seadanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan kepada penyokong bola sepak Kelantan agar berhati-hati di jalan raya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Untuk pasukan ATM, tahniah kerana berjuang hingga ke tiupan wisel terakhir," katanya di laman facebooknya sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan malam tadi,

Hari ini, Kelantan mengumumkan cuti peristiwa dan ini adalah kali kedua dalam tahun ini selepas Kelantan berjaya memasuki akhir Piala FA yang bertemu dengan Sime Darby pada 20 Mei lalu.

Kelantan akhirnya membuktikan kehebatan sebagai gergasi Pantai Timur apabila mencatat kejuaraan 'treble' musim ini dengan merangkul Piala Malaysia 2012 setelah menewaskan ATM 3-2 di Stadium Shah Alam.

Sebelum ini, Kelantan menjuarai Liga Super dan Piala FA.

Pada Piala Malaysia 2010, Kelantan berjaya menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Bukit Jalil

Jumaat, 5 Oktober 2012

Wat Siam serah “pokok duit” bina lebuh raya rakyat



Aslani M | Foto Yusri Amin,05 Okt 2012
TUMPAT: Tanpa menghiraukan sindiran pihak tertentu terhadap projek lebuh raya rakyat, sebaliknya 32 wat Siam di Kelantan mengumpul dana bagi turut sama menjaya pembinaan prasarana tersebut.

Hari ini mencatat satu sejarah apabila wat-wat Buddha terbabit menyerahkan pokok duit yang dikumpul daripada masyarakat Siam kepada Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Wang yang diterima digubah secara kreatif dengan melekatkan duit-duit tersebut pada ranting yang disediakan. Ada not-not yang bernilai RM100, RM50, RM10, RM5 dan RM1.

Wat Machimaran Kampung Bunuhan Tumpat mengumpulkan pokok duit sebanyak RM5,510 manakala Keng Choo Temple, Tanah Merah menderma pokok duit bernilai RM2,000.

Pada Jun lalu NGO tajaan Umno, Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Tukar) menyerah penyodok, kereta sorong dan cangkul buruk kepada kerajaan negeri sebagai sindiran projek lebuh raya rakyat.

Sebaliknya wat-wat Siam dari seluruh Kelantan mengambil inisiatif sendiri mengumpul dana bagi membantu dana pembinaan lebuh raya tersebut, selepas disisih kerajaan pusat sejak 1986.

Ketua Sami Buddha Tumpat II, Phrak Khru Vithat Thammarat dari Wat Machimaran berkata, kalau tidak ada duit macam mana hendak buat jalan.

“Jadi kita pakat buat baik sebelum mati. Buat baik boleh balasan baik dan buat jahat boleh balasan jahat. Oleh itu kita kena pakat buat baik, tanya mahaguru kita (Tok Guru Nik Aziz).

“Jangan cakap banyak kalau tidak ada isi tak guna juga. Macam mahaguru kita tidak cakap banyak sebab dia ada isi,” katanya pada ucapan mewakili wat-wat Siam di majlis penyerahan sumbangan bagi dana pembinaan lebuh raya rakyat di Wat Machimaran di sini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz melahirkan rasa terharu di atas kesungguhan masyarakat Siam mengumpulkan wang sesama mereka bagi membantu membina lebuh raya rakyat.

“Sebelum ini ada pihak yang membawa kereta sorong dan cangkul buruk ke pejabat saya sebagai mempersendakan projek lebuh raya rakyat.

“Namun hari ini hati saya gembira sangat kerana masyarakat Siam faham kesungguhan kerajaan negeri membina lebuh raya tersebut selepas diketepikan kerajaan pusat,” katanya.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa, Datuk Annuar Tan Abdullah, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Penyelia Dun Pengkalan Kubur, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Ketibaan Menteri Besar disambut dengan paluan gendang Siam oleh anak-anak muda. Sami yang berada di bawah khemah kemudian bersalam dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Pada majlis itu juga Menteri Besar menyerahkan surat kelulusan milik tanah tapak 12 wat Buddha di Tumpat yang dimohon kepada kerajaan negeri sebelum ini.