Sabtu, 24 September 2011

MAJLIS HARI RAYA----ANOK KUALA KRAI DI PERANTAUAN

                              para tetamu menjamu selera
                              yb dr hatta ramly melayan tetamunya
                               ketibaan yb gucil -tuan zamri
                             abang uji (yb manik urai) berbual dgn selebriti tv 3.

Khamis, 22 September 2011

RUMAH TERBUKA ANOK KUALA KRAI DI PERANTAUAN


Rumah Terbuka Idulfitri Anok Kuala Krai Perantauan Kelate Di Gombak

Di jemput semua anak Kelantan dari Kuala Krai ke Rumah Terbuka Idulfitri Anok Kuala Krai Perantauan Kelate bersama Ahli Parlimen Kuala Krai serta kesemua adun-adun dalam parlimen K.Krai. Pada 24hb Sept 2011 (sabtu) masa 11 pagi – 3.00 petang di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Gombak di Taman Melawati, Hulu Kelang.
Tempat: Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Gombak di Taman Melawati, Hulu Kelang
Pada : 24hb Sept 2011 (Sabtu)
Bersama
Ahli Parlimen Kuala Krai serta Adun-Adun Dalam Kuala Krai
Masa: 11 Pagi – 3.00 Petang

SURAT TOLAK HUDUD - SURAT MPM KPD MBK

PERDANA MENTERI MALAYSIA.

YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Menteri Besar Kelantan.
KELANTAN

Y.A.B. Tuan Haji,

PENGUATKUASAAN KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993.
DI NEGERI KELANTAN.

Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26).
Bertarikh 8 Jun 1994.

Pihak kerajaan pusat sentiasa berpandukan kepada kebijaksanaan (al-Hikmah) yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW. dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidun dalam melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum jenayah.

1. Jalan yang diambil oleh Kerajaan Pusat ini adalah juga berpandukan kapada kaedah yang terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu “tindakan pemerintahan adalah sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum).” Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak menyakinkan pakar-pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik bahawa ia selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang telah diuruskan dengan bijaksana oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat.

2. Sepertimana yang Amat Berhormat sendiri sedia ketahui, KEADILAN adalah ASAS yang paling utama ditekankan oleh agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai dengan keadilan adalah sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan yang terdapat dalam ajaran-ajaran yang lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah SAW. sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya dizaman itu.

3. Tidak perlu bagi saya menyatakan disini betapa banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya keadilan dan lebih banyak bagi ayat-ayat yang mencela sebarang jenis kezaliman. Disamping itu al-Quran juga sentiasa menggesa supaya dielak daripada terjadinya huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemarkan kapada mereka yang menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita. Di Malaysia, orang bukan Islam bukan sahaja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan membantu kita dalam urusan-urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan ajaran Islam.

4. Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan akan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa kezaliman. Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kapada keterangan berikut:

(i) Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku. Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al Quran.

Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap jenayah yang sama bagi orang Islam. Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan. Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya tertentangan dengan agama Islam.

(ii) Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan kapada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum mengikut undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu adalah mangsa rogol. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh telah merogol wanita berkenaan.

Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan mangsa rogol akan ditolak dan perogol akan terlepas.

Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun sebagai sesuatu yang adil, bahkan ia adalah satu kezaliman yang dahsyat.

5. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan oleh PAS bukanlah undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS yang bertentangan dengan penekanan oleh agama Islam yang menuntut supaya menghukum secara adil dan menolak sebarang kezaliman. Kerajaan Pusat akan sentiasa berpandu dan menerima ajaran-ajaran dan amalan Islam dari semua aspek tanpa diheret oleh kehendak organasasi politik yang mempunyai kepentingan yang lain daripada Islam dan kepentingannya.

6. Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi unsur-unsur ketidakadilan dikuatkuasakan dinegara ini, dan jika ia dikatakan itulah Hukum Hudud Islam maka umat Islam dan juga anggota masyarakat bukan Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk penganutnya. Ia juga memberi gambaran yang buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej orang-orang Islam di kalangan penganut agama-agama yang lain. Ia tetap akan menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya.

7. Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya. Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat membenarkan Kerajaan Pas menjalankan sesuatu yang bercangah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD.

Rabu, 21 September 2011

SUASANA KINI KONDUSIF - TG DATUK NIK AZIZ

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap bertegas untuk meneruskan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan walaupun negeri itu dikatakan berada dalam keadaan tidak kondusif bagi melaksanakan undang-undang berkenaan.

Beliau berkata, keadaan Kelantan sudah lama kondusif untuk pelaksanaan hukum hudud dan ini dibuktikan melalui tiga asas agama yang dilaksanakan dalam pentadbiran kerajaan negeri iaitu Ubudiah, Masuliah dan Itqan.

Nik Aziz (gambar) menambah selain itu, setiap Jumaat diadakan kuliah agama yang turut membabitkannya, selain banyak pelaksanaan projek menjurus kepada keperluan rakyat, sekali gus menjadikan asas cukup kondusif bagi melaksanakan hukum hudud di negeri ini.

“Sebenarnya, kita sudah lama mewujudkan suasana kondusif ke arah pelaksanaan hukum hudud, selain mempunyai mekanisme untuk melaksanakannya iaitu mereka yang mempunyai ilmu mencukupi dalam bidang berkenaan iaitu kadi dan hakim, tanpa membabitkan orang politik,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.

Dipetik Sinar Harian, Nik Aziz berkata, Kelantan memulai kempen pelaksanaan hudud sejak 1993 dengan menggiatkan pelbagai bentuk penerangan kepada rakyat.

Katanya, Kelantan ditadbir PAS berpandukan ajaran Islam melahirkan rakyat berpengetahuan termasuk berkaitan hukum hudud.

“Asas kondusif sudah cukup kemas,” kata Mursyidul Am PAS ini.

Kelmarin, bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Kelantan tidak boleh melaksanakan hukum hudud kerana negeri itu tidak kondusif.

Ditanya jika pakatan pembangkang lain tidak bersetuju dengan pelaksanaan itu, Nik Aziz berkata, persoalan itu perlu ditanyakan kepada pihak berkenaan mengapa tidak bersetuju terhadap perkara itu.

Asri berkata pelaksanaan hukum hudud memerlukan ijtihad ataupun tafsiran baru dengan mengambil kira aspek perubahan zaman dan tempat.

“Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan sunah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat,” kata beliau.

Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini, kata beliau sambil menambah, “cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan.”

Asri juga berkata, pelaksanaan hudud hendaklah mengambil kira persoalan suasana hudud itu dilaksanakan kerana suasana yang tidak kondusif akan menyebabkan kesan negatif kepada pelaksanaan sesuatu hukuman.

“Ini kerana Nabi s.a.w sendiri mengambil kira persoalan ini,” katanya.

Katanya ia bermakna pelaksanaan hudud yang membawa kepada umat Islam lari atau salahfaham terhadap Islam, atau Islam ditohmah dengan tuduhan liar sehingga menggugat keimanan umat Islam yang lain patut dielakkan.

“Hari ini suasana berubah, media massa sering digunakkan untuk memberikan imej yang salah mengenai Islam. Persediaan ke arah menangani hal itu juga amat penting,” katanya.

Ahad, 18 September 2011

PEMANSUHAN ISA "KEMENANGAN GHAIB"- SN DATUK A.SAMAD SAID

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menganggap pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumum Datuk Seri Najib Razak sebagai suatu "kemenangan ghaib".

Beliau berkata, perdana menteri itu tentunya tidak akan mengakui hal berkenaan tetapi pastinya ada usaha yang menggerak dan mendesak ke arah itu.

"Selama 54 tahun tidak terfikir ISA harus dihakis, tiba-tiba sahaja dapat ilham dan (mereka) harus mengakui kelompok anak muda tidak tahan lagi (dengan ISA).

Beliau juga tidak terkejut berikutan keengganan kerajaan mengakui pemansuhan ISA itu disebabkan tekanan berterusan dari pelbagai pihak khususnya anak muda.

"Tidak pula diceritakan bahawasanya desakan itulah yang mendorongnya untuk berubah. Kalau tidak ada desakan, saya tidak fikir ia akan mansuh kerana ISA sangat mujarab untuk menekan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran antologi sajak Puisi Jadi Senjata yang diterbitkan sehari sebelum himpunan BERSIH 2.0 sebagai tanda sokongan anak muda kepada sasterawan itu.

Perubahan regim


Sinonim dengan gelaran sasterawan rakyat, beliau berharap antalogi puisi itu turut disebar di pedalaman di semua negeri dan tidak hanya berlegar di kawasan kota.

Pada majlis pelancaran itu, beliau mengingatkan betapa perubahan regim hanya mampu dilakukan golongan anak muda.

"Saya sangat yakin hanya suara muda boleh merubah. Orang tua kebanyakannya sudah bersikap (mengambil pendirian), maksudnya mereka tidak mahu diganggu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau yakin penerbitan antologi sususan penggiat seni, Fazallah Pit, membuktikan seni bukan hanya hiburan kerana di tangan anak muda, puisi menjadi senjata.

"Selama ini seni hanya dianggap hiburan tapi di tangan anak muda, puisi jadi senjata.

"Yang berjuang orang lain, yang menyambut kemerdekaan orang lain. Yang berjuang, yang berkuasa orang lain dan kuasa itu berlanjutan sampai 54 tahun.

"Sudah waktunya, setidak-tidaknya untuk satu term (penggal) kita berikan kelainan," katanya yang sering berkempen supaya ditumbangkan BN dalam pilihan raya akhir-akhir ini.

Sabtu, 17 September 2011

DR HASSAN ALI NAFI MASUK UMNO..............

Hasan Ali nafi spekulasi masuk Umno


Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini menafikan dakwaan dalam blog bahawa beliau akan keluar PAS dan menyertai Umno.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat, menyifatkan dakwaan tersebut, bersifat "spekulasi".

"Saya bersama dengan PAS dan yakin dengan perjuangan PAS kerana slogannya kepimpinan ulamanya yang memanggil Hasan Ali menyertai PAS.

"Kedua, bukan sahaja kerana kepimpinan Ulama, (tapi PAS) nak menegakkan negara Islam yang berpaksikan Al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak Ulama dan Qias," katanya dalam sidang media di kediamannya hari ini.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi dengan tegas, menafikan akan menyertai Umno.

Katanya lagi, sehingga semalam beliau mendapat tidak kurang 15 panggilkan telefon dan 25 SMS bertanyakan berhubung perkara tersebut.

Hasan turut menafikan dakwaan bahawa berjumpa dengan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk berbuat demikian.

"Tidak ada perjumpaan. Saya tidak pernah berjumpa dan tidak ada rancangan untuk berjumpa.

"Mungkin ada orang lain yang berjumpa, mungkin Hasan lain, Hassan putu mayung ka...(Tapi) bukan Hasan Ali," katanya berseloroh.

Hasan yang juga ADUN Gombak Setia menolak dakwaan dalam media dan blog bahawa sebelum ini pernah menganggotai atau berkecimpung dengan Umno.

"Saya tidak pernah sebarang masa, sebarang ketika berkecimpung dalam Umno dan tidak pernah berniat untuk berkecimpung dalam Umno.

"Semoga penjelasan ini, dapat diberitahu kepada mereka yang ingin mengetahuinya, saya rasa dapat meredakan spekulasi-spekulasi yang sedemikian.

"Saya tidak berkata spekulasi ini berniat jahat, saya tidak kata spekulasi ini mahu menimbulkan ketegangan mana-mana pihak, tetapi saya rasa, redakanlah.

"Kalau kamu tidak dapat daripada 'horse mouth' (dari mulut saya tentang perkara itu), janganlah mereka mewakili kuda-kuda itu untuk bercakap," katanya.

Ditanya mengapa desas-desus untuk menyertai Umno selalu dikaitkan dengannya, Hasan berkata macam-macam orang boleh mendakwa sedemikian terhadapnya.

"Saya public figure, macam-macam orang dakwa...Ia kena keluar dari mulut saya. Selagi tidak keluar dari mulut saya, kenapa perlu diwakil-wakilkan," katanya.

Jumaat, 16 September 2011

mana satu yang benar -MPM ATAU MUFTI ?

Sebelum ini Mufti Perak, Harussani ada berkata beliau pernah cuba untuk bertemu dengan Dr Mahathir agar tidak memecat dan juga tidak mengenakan tuduhan liwat ke atas Anwar.

Agak lama Mahathir ingin membalas balik perkara tersebut. Hari ini Mahathir menafikan Harussani pernah menasihati. “Meskipun jika mufti menasihati saya, dan saya menafikan beliau ada berbuat demikian, saya tidak dapat menerima nasihat seperti itu,” kata Mahathir.

Mahathir juga mengutuk Harussani dengan berkata kemungkinan mufti terbabit boleh menerima seorang yang tidak bermoral sebagai pemimpin, tetapi bukan beliau.

“Maafkan saya, saya memegang tanggungjawab sebagai satu amanah, kepercayaan dan saya tidak bersedia untuk menerima seorang yang tidak bermoral sebagai Perdana Menteri.

Barangkali Mahathir bukannya pernah dan nak dengar orang agama menasihatinya. Kita juga pernah mendengar hukum agama pun dia permainkan!!

Khamis, 15 September 2011

Parti Tindakan Demokratik (DAP)  
  
  DAP lebih disenangi oleh kaum Cina dan diterima sebahagian kecil kaum India. DAP lebih dikuasai oleh kaum Cina dan diterima dengan baik oleh kaum Cina di bandar-bandar. Kaum Cina sedar walaupun mereka secara majoritinya menyokong DAP, tetapi segala pembangunan akan tetap berjalan dan mungkin lebih pesat kerana BN terpaksa memberikan segala kemudahan atas dasar kepentingan ekonomi negara.
DAP pernah berjuang secara bersendirian di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka , Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Willayah Persekutuan. DAP kemudian mengubah strategi dan mula berlembut dengan PAS sekitar 1990 dalam Barisan Alternatif. Akibat daripada sikap berlembut dengan PAS dalam isu Negara Islam DAP kehilangan pengaruhnya dikalangan orang Cina. Banyak kerusi DAP telah hilang. DAP kemudiannya keluar dari BA dan bersendirian sekali lagi bertanding dalam pilihan raya dan mereka kembali menambah kerusi dalam negeri dan parlimen.


En. Lim Kit Siang
Tokoh Pembangkang yang Lantang


En. Dr. Tan Seng Giaw
Tokoh Pembangkang yang dihormati oleh BN


En. Lim Guan Eng
Tokoh DAP yang berjaya menyandang jawatan Ketua Menteri

Parti Islam Semalaysia (PAS) 

  

1951

 
 
Kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dalam politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.
Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis UMNO bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai UMNO pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap UMNO yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran UMNO.

Sheikh Abdullah Fahim
Antara pengasas Persatuan Ulamak
Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.
Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka.

Dr. Burhanuddin Al Helmy
Pelopor Perubatan Homeopathy dan Bekas Pimpinan PAS
Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ dari matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2.

Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.
Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.

Datuk Asri Muda
Pemimpin PAS yang bertanggungjawab membawa PAS ke dalam BN
PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.
Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.


Us. Fadzil Noor memimpin perubahan besar dalam PAS
Beliau membawa PAS ketengah-tengah masyarakat.
Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-UMNO pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, UMNO pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.

Ku Li keluar daripada UMNO lalu menubuhkan Semangat 46 dan bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya
Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam.


Tuan Guru Hj. Nik Aziz
Ulama' dan Pemimpin yang disegani
Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang).

Tuan Guru Hj Abdul Hadi
Presidan PAS
 
Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.